Tidak semua tahu apa beza virus dan bakteria?

Tidak semua tahu apa beza virus dan bakteria?

Istilah kuman tidak membezakan antara virus dan bakteria, sedangkan kedua-duanya merupakan bahan yang mempunyai watak yang jauh berbeza.

Imej mikroskop elektron menunjukkan Covid-19, oren, yang muncul dari permukaan sel, sampel itu diasingkan daripada pesakit di A.S. (Gambar AP)

Tidak dinafikan adakalanya kita sentiasa keliru dengan penerangan doktor setiap kali kita ke klinik atau hospital.

Ini kerana ada kalanya doktor menggunakan terma yang jelas seperti virus dan bakteria, tetapi ada kalanya juga doktor akan menyebut istilah am yang wujud dalam bahasa Melayu – iaitu “kuman”.

Situasi ini sebenarnya agak mengelirukan kita kerana kita rujuk kepada kamus, “kuman” mempunyai makna “benda hidup yang mendatangkan berbagai-bagai jenis penyakit” dan “sesuatu yang halus atau seni (seperti debu)”.

Istilah kuman tidak membezakan antara virus dan bakteria, sedangkan kedua-duanya merupakan bahan yang mempunyai watak yang jauh berbeza.

Dari mana datangnya istilah virus?

Satu fakta yang perlu diperjelaskan terlebih dahulu, adalah status sebenar virus.

Pasti ramai yang menganggap “virus” satu benda hidup.

Istilah “virus” sebenarnya datang daripada perkataan Latin yang merujuk kepada cecair atau bahan yang beracun.

Selain Latin, bahasa Sanskrit juga mempunyai perkataan hampir serupa iaitu “visam” yang mewakili bahan berbisa dan beracun.

Hanya pada abad ke-18 penggunaan perkataan virus mula digunakan sebagai kata nama bagi mewakili bahan yang menyebabkan penyakit pada manusia.

Dari situ kita boleh nampak bagaimana berbeza virus dengan bakteria.

Virus merupakan bahan beracun yang terhasil akibat tindak balas kimia tetapi bakteria pula adalah benda hidup, sebuah organisma yang menjalani proses hidup semulajadi.

Kekeliruan terhadap status virus sebagai benda hidup

Apa yang menyebabkan kekeliruan berkenaan status virus sebagai salah satu benda hidup, adalah kemampuannya.

Virus terbentuk daripada gabungan asid nukleik yang dibendung atau ditampung oleh salutan protein.

Apabila sesuatu virus menyerang perumah atau hos yang ditumpangnya, virus itu akan memecahkan salutan protein yang mengurungnya seterusnya menyerang sel perumah.

Sel yang diserang pula akan diberikan tugas baru menjadi kilang, menghasilkan semula asid nukleik yang merupakan bahan utama virus tersebut berulang kali.

Ini menyebabkan bilangan virus tadi bertambah berlipat kali ganda.

Untuk mula aktif, virus memerlukan perumah yang akan membekalkannya sel untuk dirosakkan.

Tanpa sel tersebut, virus tidak boleh melakukan apa-apa.

Itu adalah panduan utama dalam mengklasifikasikan virus-virus tiada sel untuk hidup sendiri.

Virus tiada fungsi tanpa perumah. Virus tidak mampu membiak sendirian.

Banyak pendapat menyebut virus lebih mirip kepada bahan kimia berbanding bahan yang hidup, tetapi sehingga kini tidak ada kata putus terhadap percanggahan ini.

Bakteria – organisma bernyawa yang hidup

Bakteria pula merupakan satu istilah yang hanya diperkenalkan pada pertengahan abad ke 19 selepas penyelidik berjaya mengenalpasti kewujudan makhluk-makhluk halus berbentuk rod.

Berikutan bentuknya yang mirip dengan rod kayu, penyelidik barat menggelarkan makhluk-makhluk itu sebagai “bacterium” yang bermakna rod atau kayu – mewakili bentuk bakteria yang ditemui.

Bagaimanapun, penemuan pertama bakteria sebenarnya telah pun berlaku lebih awal pada abad ke-17, apabila seorang penyelidik bernama Antony Van Leeuwenhoek. Kini dia dikenali sebagai bapa kepada kajian mikro biologi.

Leeuwenhoek menjalankan kajian dalam sampel air hujan dan menemui sejenis makhluk halus yang hanya dibentuk dengan satu sel “protozoa”.

Bagi menamakan penemuannya, Leeuwenhoek menamakan makhluk itu sebagai “animalcules” – bermakna haiwan-haiwan kecil yang bersaiz mikroskopik.

Nasib baiklah terma itu ditukar kepada bakteria kan? Pening juga nak menyebutnya. Animalcule, animalcule, animalcule.

Berapakah jumlah bakteria yang ada di bumi?

Berbeza dengan virus, bakteria mampu hidup di merata-rata tempat tanpa terjejas hidupnya berbeza dengan virus yang memerlukan perumah.

Seperti dalam kajian Leeuwenhoek, bakteria ditemui hidup dalam air hujan.

Apa yang kita tahu, bakteria mampu hidup di mana – batu, salji, air, sungai dan termasuklah badan kita sendiri.

Walaupun bakteria mempunyai jumlah yang sukar untuk kita ketahui banyaknya – dianggarkan sebanyak 5 juta trilion trilion tambah tolak, apa yang kita tahu terdapat 7 jenis kategori bakteria yang ada bergantung kepada saiz, bentuk dan rekaannya.

Walaupun banyak, daripada kesemua bakteria yang ada hanya kurang 1% bakteria mampu menyebabkan penyakit pada kita.

Seandainya anda ke klinik dan diminta mengambil dos antibiotik, itu menandakan anda telah dijangkiti bakteria.

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan walaupun bakteria dikategorikan sebagai benda hidup yang memerlukan oksigen, ada juga kumpulan bakteria yang tidak memerlukan oksigen.

Kumpulan kecil ini yang dinamakan sebagai “obligates anaerobes bacteria” sebaliknya tidak menggunakan oksigen untuk hidup, malahan ada juga yang akan keracunan apabila didedahkan kepada oksigen.

Di dalam badan kita pun ada bakteria jenis ini yang hidup, kesemuanya dalam sistem perkumuhan badan kita.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.