Kakitangan Hospital Teluk Intan positif Covid-19

Kakitangan Hospital Teluk Intan positif Covid-19

Tetapi, tidak menyatakan jumlah kakitangan perubatan yang positif virus itu.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah keselamatan dan pencegahan sudah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan di Hospital Teluk Intan. (Gambar Facebook)
IPOH:
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan beberapa kakitangan perubatan di Hospital Teluk Intan (HTI) positif Covid-19.

Tanpa menyatakan jumlah kakitangan yang positif virus itu, katanya, langkah keselamatan dan pencegahan sudah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan di HTI.

“Pihak pengurusan HTI telah mengambil tindakan pengawalan yang rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak serta tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital dan ia menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif Covid-19 dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial menyatakan HTI lumpuh disebabkan 6 kakitangan perubatannya positif Covid-19.

Hisham menggesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih kerana bimbang ia akan menimbulkan kegusaran orang ramai.

Orang ramai boleh merujuk Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan di hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel [email protected] untuk mendapatkan maklumat Covid-19.

Perak merekodkan 66 kes positif Covid-19 setakat semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.