
S Punniamurthy, 33, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di depan Majistret Norhabsarina Ayob di sini, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Punniamurthy didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis menjalankan tugas pemantauan kerana enggan menunjukkan pengenalan diri di depan rumahnya di Persiaran Orkid 8, Taman Orkid, Sungai Siput (U) pada Jumaat lalu, selain menolak pegawai itu ke tepi jalan.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan, Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya meraih pendapatan RM1,500 sebulan, perlu menjaga ibunya dan tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.