Angka korban di Itali turun kepada 651 kes sehari

Angka korban di Itali turun kepada 651 kes sehari

Itali melarang perjalanan rentas bandar dan wilayah dan menggantung semua aktiviti perniagaan bukan asas.

Anggota perubatan merawat pesakit di kemudahan kecemasan yang didirikan sebuah hospital di Brescia. (Gambar AP)
ROM:
Itali melarang perjalanan antara bandar di negara itu untuk membendung penularan Covid-19 ketika 651 pesakit meninggal dunia pada Ahad, menjadikan keseluruhannya 5,476 kematian setakat ini.

Sebulan selepas kematian pertama Covid-19 direkodkan di Itali, kerajaannya mengeluarkan arahan menggantung semua aktiviti perniagaan bukan asas dalam usaha mengekalkan rakyatnya di rumah.

Antara sektor disasarkan ialah industri kenderaan, tekstil dan perabot. Larangan itu berkuat kuasa Rabu ini sehingga 3 Apr nanti.

Syarikat kaca mata terbesar di dunia, Luxottica antara perniagaan yang menghentikan pengeluaran mereka di Itali.

Bagaimanapun, pemimpin kesatuan sekerja mendakwa Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte tidak cukup tegas dengan arahan penutupan perniagaan kerana berpuluh sektor diberikan pengecualian. Mereka mengugut akan mengadakan mogok jika terlalu ramai pekerja terdedah kepada risiko kesihatan.

Dalam video yang dimuat naik ke Facebook pada Sabtu malam, Conte berkata, Itali berdepan krisis paling serius sejak perang dunia ke-2 dengan hampir setiap katil di unit rawatan rapi dipenuhi pesakit.

Kementerian Dalam Negeri dan Kesihatan dalam kenyataan berasingan meminta rakyat duduk di rumah, kecuali untuk urusan kecemasan atau alasan kesihatan yang memaksa mereka ke bandar atau wilayah lain.

Jumlah kematian di Itali tertinggi di seluruh dunia, manakala jumlah kes positif Covid-19 di negara itu berada di tempat ke-2 selepas China, dengan 5,560 kes positif yang menjadikan keseluruhan 59,138 orang pada Ahad, kata Agensi Perlindungan Awam.

Bagaimanapun, statistik pada Ahad lebih rendah berbanding Sabtu dengan jumlah kematian berjumlah 793 pesakit dan kes baru sebanyak 6,557 orang.

“Kita tidak mahu terlalu bersemangat atau membuat jangkaan berlebihan terhadap trend itu, tetapi ada penurunan dalam angka berbanding semalam,” kata Franco Locatelli yang mengetuai majlis kesihatan tertinggi Itali.

“Kita tidak boleh berhenti berwaspada, kita perlu meneruskan langkah yang diambil dan menghormati arahan kerajaan,” katanya pada sidang media.

China sudah menghantar doktor dan peralatan perubatan untuk membantu Itali, manakala lebih 50 doktor Cuba tiba di Milan pada Ahad.

Tentera Rusia pula berkata, ia akan menghantar bantuan ke Itali atas arahan Presidennya, Vladimir Putin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.