11 stesen kuarantin di Wilayah Persekutuan mula diguna esok

11 stesen kuarantin di Wilayah Persekutuan mula diguna esok

KKM dan Nadma akan mengatur pemindahan sebahagian pesakit wabak Covid-19 yang kini dikuarantin di Masjid Sri Petaling.

Sebahagian pesakit Covid-19 yang dikuarantin di Masjid Sri Petaling akan dipindahkan ke pusat baru yang diwartakan bermula esok.
PETALING JAYA:
11 stesen kuarantin bagi menghadapi wabak Covid-19 di seluruh Wilayah Persekutuan, termasuk di Labuan, Sabah akan mula digunakan esok, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Annuar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengatur pemindahan sebahagian pesakit wabak Covid-19 yang kini dikuarantin di Masjid Sri Petaling.

“11 pusat kuarantin sudah digazetkan di seluruh Wilayah Persekutuan, termasuk Labuan. Pusat kuarantin ini akan digunakan esok.

“Ia termasuklah oleh Nadma dan KKM yang akan mengatur pemindahan sebahagian daripada mereka yang sedang dikuarantin di Masjid Sri Petaling, yang merupakan tempat himpunan (tabligh) baru-baru ini, “ katanya di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Putrajaya mewartakan 409 lokasi di seluruh negara sebagai stesen kuarantin bagi menghadapi wabak Covid-19.

Pewartaan yang dibuat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba selaras dengan Seksyen 2, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Senarai itu termasuklah Institut Kemahiran Belia, Institut Pendidikan Guru, politeknik, kolej komuniti, pusat latihan dan Taman Negara Similajau, Bintulu, Sarawak.

Annuar berkata, beberapa langkah tegas juga akan diambil di 4 kawasan sekitar Kuala Lumpur yang dianggap sebagai “red zone”, iaitu di Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras.

“Kawasan ini akan diberikan pemantauan yang lebih rapi, terutamanya di tempat kejadian (jangkitan) yang direkodkan dan sekitarnya. Pemerhatian akan diberikan lebih intensif di kawasan berkenaan,” katanya.

Annuar turut memaklumkan seramai 1,413 anggota tentera sudah melaporkan diri bagi membantu polis dan pihak berkuasa lain dalam meningkatkan keberkesanan usaha perintah kawalan pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan.

“Kita harap dengan ini dapat menambahkan lagi lokasi mengadakan khidmat sekatan jalan raya yang sebelum ini berjumlah 40 tempat, kini akan ditingkatkan kepada 58 tempat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.