Kumpulan PKS dakwa bank tolak permohonan pinjaman di bawah pakej rangsangan

Kumpulan PKS dakwa bank tolak permohonan pinjaman di bawah pakej rangsangan

BNM mengumumkan PKS boleh mendapat 3 kemudahan pinjaman, iaitu Kemudahan Bantuan Khas Kemudahan Agromakanan dan Kemudahan Automasi dan Digital

Jurucakap pasukan khas PKS Shahul Dawood berkata, niat Putrajaya untuk memastikan ekonomi terus bergerak dihalang oleh ‘sikap tidak peduli’ institusi kewangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan usahawan dan industri kecil sederhana hari ini mendakwa beberapa bank menolak pemohonan pinjaman yang dibuat di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini bagi menghadapi kesan ekonomi penularan wabak Covid-19.

Sektertariat Pasukan Petugas Khas NGO dan Usahawan Covid-19 berkata, terdapat permohonan pinjaman anggota mereka ditolak.

Bulan lepas Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, dana sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan bagi pembiayaan usahawan kecil sederhana (PKS) sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan kerajaan.

BNM berkata, PKS boleh mendapatkan 3 kemudahan pinjaman, iaitu Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Automasi dan Digital (ADF).

Jurucakap sekretariat Shahul Dawood bagaimanapun berkata, “realiti di lapangan adalah berbeza.”

“Kami menghubungi 7 institusi kewangan tempatan dan kesemua anggota kami menerima respons yang sama.

“Permohonan kami ditolak atas alasan tidak ada arahan daripada pihak atasan dan kebanyakan mereka enggan ke depan bagi membantu secara proaktif.

“Tampak seperti wujud putus hubungan antara kerajaan dengan bank,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrul berkata, niat Putrajaya untuk memastikan ekonomi terus bergerak dihalang oleh “sikap tidak peduli” institusi kewangan.

Beliau berkata, institusi kewangan terus mendakwa mereka mempunyai “tanggungjawab fudisiari” kepada pemegang saham bagi menjamin keuntungan dan pengurusan risiko portfolio.

“Pendekatan “berniaga seperti biasa” institusi kewangan katanya, akan menyebabkan ekonomi merudum.

Beliau seterusnya menggesa Kementerian Kewangan dan bank pusat agar mengarahkan bank supaya bekerjasama dengan komuniti perniagaan.

“Jika tidak, kita akan menuju kehancuran dalam sedikit masa lagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.