
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua lelaki berkenaan menjalani saringan kesihatan di hospital itu kira-kira 3 pagi tadi.
“Hasil ujian saringan berkenaan, pihak hospital mendapati kedua-dua pesakit tersebut negatif penyakit terbabit,” kata Ayob dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, 2 individu itu tampil di balai polis berdekatan untuk membuat laporan bagi menafikan mereka melarikan diri dari hospital.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua pesakit tersebut baru kembali ke Malaysia selepas bercuti di Korea dan disebabkan penularan Covid-19, mereka hadir (secara sukarela) ke hospital berkenaan untuk melakukan ujian saringan.
“Semasa menunggu rawatan, kedua-dua pesakit bagaimanapun telah pulang ke rumah atas sebab-sebab peribadi,” katanya.
Sejak tengah hari tadi, tular laporan polis seorang petugas hospital di Facebook mendakwa 2 pesakit yang masing-masing berusia 27 dan 6 tahun disyaki dijangkiti Covid-19 pulang (meninggalkan hospital) tanpa kebenaran doktor.