Isteri PM Kanada positif Covid-19

Isteri PM Kanada positif Covid-19

Pejabat perdana menteri berkata, Justin Trudeau dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom, tetapi beliau akan mengasingkan diri selama 14 hari seperti dirancang.

Justin Trudeau dan Sophie Gregoire-Trudeau akan terus melakukan pengasingan diri selama 14 hari. (Gambar Reuters)
OTTAWA:
Isteri Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau disahkan positif Covid-19, kata pejabatnya pada lewat Khamis.

“Sophie Gregoire-Trudeau diuji untuk Covid-19 hari ini. Hasil ujian itu positif,” kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan nasihat perubatan, beliau akan kekal dalam pengasingan buat masa ini. Beliau berasa sihat, sedang menuruti semua cadangan pencegahan dan simptomnya kekal ringan.

“Perdana menteri dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom. Sebagai langkah berjaga-jaga dan mengikut nasihat doktor, beliau akan mengasingkan diri selama 14 hari seperti dirancang, tetapi beliau tidak akan diperiksa.

“Perdana menteri akan meneruskan tugasnya dan membuat ucapan kepada rakyat Kanada esok.”

Terdahulu, Trudeau dan isterinya mengumumkan mereka menjalani kuarantin di rumah selepas Gregoire-Trudeau mengalami gejala seperti selesema sekembalinya dari Britain.

Gejala dialami Gregoire-Trudeau termasuk “demam pada lewat malam tadi” dan beliau segera mendapatkan nasihat perubatan serta menjalani pemeriksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.