
Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad berkata perbincangan mengenai kertas kerja itu, yang juga memasukkan panduan berkaitan, akan diputuskan dalam masa 2 atau 3 hari lagi.
“Ini termasuk bersalaman, kenduri kahwin dan pengurusan jenazah…beberapa saranan akan kita kemukakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri suatu majlis di Dewan Solat Utama, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, menegaskan penularan dan keadaan wabak yang sangat membimbangkan.
Mengenai solat Jumaat, Zulkifli berkata JPM mengeluarkan beberapa saranan bagi mengurangkan risiko jangkitan, seperti pemilihan kawasan yang selamat, mengambil wuduk di rumah dan memendekkan khutbah.
“Pihak masjid perlu sediakan cecair pembasmi kuman dan perhimpunan dilakukan di tempat yang tidak terlibat dengan Covid-19,” katanya.
Sebuah badan pemikir, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa rumah ibadat, termasuk surau, masjid, kuil dan gereja supaya tidak mengadakan perhimpunan dan majlis keagamaan besar susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan.
Perkembangan ini selepas pihak berkuasa mengesahkan seorang individu yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di sebuah masjid antara kes Covid-19 terbaru, dan pihak berkuasa sedang menjejaki ribuan peserta lain.