Noraini letak jawatan pengerusi PAC

Noraini letak jawatan pengerusi PAC

Langkah itu susulan pelantikannya sebagai anggota Kabinet baru yang memegang portfolio menteri pengajian tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Parit Sulung, Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata langkah itu susulan pelantikannya sebagai anggota Kabinet baru yang memegang portfolio menteri pengajian tinggi.

“Saya meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 77(4) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut, ‘…seseorang ahli Majlis tidak boleh diangkat atau dilantik memegang atau memangku jawatan pengerusi atau menjadi ahli PAC semasa ia menjadi seorang menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Noraini berkata beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau dilantik sebagai pengerusi PAC pada 11 April 2019 selepas usul menggantikan Ronald Kiandee diluluskan Dewan Rakyat.

Noraini juga pengerusi PAC perempuan pertama negara merupakan ketua Wanita Umno. Beliau dilantik sebagai ahli PAC pada Ogos 2018, menggantikan bekas ketua PAC Hasan Arifin.

Hari ini, beliau mengangkat sumpah sebagai menteri pengajian tinggi bersama 31 menteri Kabinet pimpinan Perdana Menteri Muhyidin Yassin.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.