Mampukah menteri Perikatan Nasional atasi Pakatan Harapan?

Mampukah menteri Perikatan Nasional atasi Pakatan Harapan?

Seorang senator tidak sesuai jadi menteri kewangan kerana beliau tidak dipilih rakyat dan memungkinkan beliau hanya bertanggungjawab kepada perdana menteri.

Menarik sekali membaca hujah Khalid Jaafar mengenai perubahan demografi, tentang jumlah populasi orang Melayu dan Bumiputera akan bertambah kepada 72.1% menjelang 2040.

Justeru penambahan ini akan memberi “talian hayat” kepada parti politik berwajah Melayu dan Bumiputera seperti Perikatan Nasional (PN) menguasai politik negara tanpa gabungan parti bukan Melayu.

Jika kita menggunakan logik Khalid Jaafar, tentunya Joko Widodo sudah kalah pilihan raya presiden Indonesia 2019 kerana majoriti pengundi Indonesia terdiri daripada orang Islam yang memandang Joko sebagai anti-Islam dan mendakwa beliau mempunyai keturunan Tiong Hua (Cina).

Joko yang konsisten menekankan rekod prestasi pentadbiran ketika berkempen, berjaya meyakinkan rakyat Indonesia untuk memilihnya semula sebagai presiden.

Akhirnya, pemikiran yang menyokong berdasarkan identiti politik membuka ruang kepada pengundi Indonesia memilih calon pemimpin terbaik untuk semua bangsa Indonesia seperti Joko.

Kata kunci yang saya mahu tekankan di sini ialah “prestasi pentadbiran”. Prinsip ini menjadi kayu ukur kejayaan kerajaan dalam menguruskan hal ehwal rakyat dan negara.

Menteri kanan dan tugas- tugas khas?

Semalam, PN mengumumkan senarai jemaah menteri yang mempunyai 70 orang menteri dan timbalan menteri. Perdana menteri dapat mengumumkan Kabinetnya secara lengkap dalam tempoh seminggu, berbeza dengan PH yang mengambil masa 2 bulan untuk melengkapkan Kabinet.

Bilangan anggota jemaah menteri yang besar selalunya menggambarkan kerajaan tidak stabil kerana ia memerlukan banyak bantuan untuk membuat keputusan di peringkat eksekutif.

Buat pertama kali, Malaysia mempunyai 4 orang menteri kanan. Konsep menteri kanan ini sudah diamalkan di Singapura dan Britain. Antara portfolio digelar menteri kanan ialah dalam negeri, kewangan, dan pertahanan.

Menteri kanan PN berdasarkan kepentingan “politik parti” berbanding portfolio. Ironinya, menteri kewangan PN yang bakal diterajui seorang senator tidak tersenarai sebagai menteri kanan.

Kerajaan berlandaskan parlimen Westminster selalunya mengutamakan ahli Dewan Rakyat menjadi menteri kewangan. Seorang senator tidak sesuai menjadi menteri kewangan kerana beliau tidak dipilih oleh rakyat dan memungkinkan beliau hanya bertanggungjawab kepada perdana menteri dalam sebarang keputusan.

Senator sendiri tidak boleh meluluskan rang undang-undang (RUU) melibatkan kewangan di Dewan Negara. Di sini, terdapat percanggahan jelas tentang peranan menteri kewangan yang tidak tersenarai sebagai “menteri kanan” dan dipegang oleh ahli Dewan Negara.

Perdana menteri turut mewujudkan portfolio tugas-tugas khas yang diisi oleh Mohd Redzuan Md Yusof daripada PPBM. Ini merupakan kali ke-7 kerajaan persekutuan mempunyai menteri tugas-tugas khas (MTTK) sejak 1970 dengan menjalankan tugas-tugas politik perdana menteri.

Pentadbiran Barisan Nasional (BN) bawah Abdul Razak Hussein, Dr Mahathir Mohamad, dan Abdullah Ahmad Badawi mempunyai MTTK, kecuali zaman pentadbiran Hussein Onn yang dilihat stabil dan kukuh.

Jawatan yang sama diwujudkan Najib Razak pada 2017 dengan melantik sepupunya, Hishamuddin Hussein. Pelantikan ini dibuat bagi mengukuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dilihat tidak terurus selepas Muhyiddin Yassin dipecat daripada Kabinet dan Umno.

Secara dasarnya, MTTK ini sengaja diada-adakan kerajaan baru. Apa yang membimbangkan sekali ialah MTTK, yang gajinya dibayar melalui dana rakyat, menjalankan tugas untuk kepentingan politik perdana menteri, bukan untuk rakyat. Bukankah ini satu pembaziran kepada dana pembayar cukai?

Semuanya tentang prestasi menteri

Selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang, rakyat tidak berhenti-henti mengucapkan penghargaan kepada menteri-menteri PH seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Yeo Bee Yin, Hannah Yeoh, Anthony Loke Siew Fook, Gobind Singh Deo dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kredibiliti mereka cukup meyakinkan sehingga bekas senator Dewan Negara Muafakat Nasional, Khairul Azwan Harun meminta Dzulkefly dilantik semula sebagai menteri kesihatan dalam usaha memerangi wabak koronavirus Covid-19. Bukankah ini pengiktirafan kerja kuat menteri PH?

Usaha kerajaan memerangi rasuah diiktiraf oleh Transparency International Malaysia (TI-M). Malaysia berada di tangga 51 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2019 berbanding tangga 61 pada 2018. Perkara ini dicapai kurang daripada 1 tahun pentadbiran PH.

Ironinya, ketika negara berjaya memerangi rasuah, terdapat pemimpin PH yang sanggup mencemarkan prestasi ini melalui “Langkah Sheraton” dengan Muafakat Nasional.

Melihat ke hadapan, rakyat dan pemimpin PH mempunyai tugas mengadili “prestasi” kerajaan PN yang ditubuhkan bukan melalui legitemasi pilihan raya.

Hakikatnya, menteri-menteri PN mempunyai cabaran besar untuk menunjukkan prestasi lebih baik berbanding menteri PH. Persoalannya, sejauh manakah jemaah menteri PN mampu mengatasi prestasi menteri PH ini? Adakah imej dan kepimpinan PN mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik? Sejujurnya saya tidak tahu.

Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.