
Gobind berkata demikian selepas dilaporkan Nga telah diundang secara bertulis untuk mempengerusikan sidang itu oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun semalam tetapi didakwa dihalang oleh seorang “menteri kanan Kabinet”.
“Saya mencabar Ahli Parlimen Gombak adakah beliau menteri kanan tersebut, berdiri dan bangun jawab soalan itu sekarang kalau berani. Sebagai menteri kanan bangun dan jawab,” katanya di Dewan Rakyat.
Azmin kemudian bangun dan berkata: “Saya berani kerana ikut peraturan, ini sesi soal jawab.”
Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon kemudian mematikan mikrofon Azmin dan Gobind dan meminta Gobind meneruskan sesi pertanyaan.
“Saya tidak benarkan sesi untuk perbahasan ini,” kata Rashid.
Terdahulu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Dewan Rakyat mendedahkan siapakah menteri kanan yang menghalang Nga untuk mempengerusikan Dewan Rakyat semalam.
Katanya, perbuatan itu sangat memalukan dan menyalahgunakan kuasanya.
“Saya ingin tahu dan minta penjelasan, siapakah menteri kanan yang telah masuk campur dan salah guna kuasa.
“Mengikut satu laporan, ada seorang menteri kanan telah sekat speaker Dewan Rakyat daripada mengundang Nga (Teluk Intan) sebagai speaker semalam,” katanya.