
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 3 (daripada 13) ahli Parlimen PPBM yang asal dilantik ke jemaah menteri bawah perdana menteri dan presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.
Di waktu kemelut politik kini, saya ingin mengimbau kembali persoalan yang pernah dibangkitkan Dr Ismail Abdul Rahman, buat renungan seluruh rakyat dan ahli-ahli Parlimen – “Mengapa kita bangunkan Malaysia? Malaysia yang bagaimanakah yang kita ingin bangunkan?”
Sewaktu mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM tanggal 23 Februari yang lalu, sememangnya Dr Mahathir Mohamad merayu kepada MPT supaya jangan memaksa beliau melanggar prinsip beliau selanjutnya memungkiri janji beliau kepada rakyat.
Mahathir juga menekankan kepada ahli-ahli MPT mereka perlu meletakkan diri mereka sepertimana rakyat marhaen dan menilai segala keputusan yang dibuat oleh wakil rakyat atau menteri sepertimana diterima oleh rakyat.
Ini membawa saya kepada persoalan utama perjuangan ini – kenapa saya sertai PPBM? Pada ketika itu, PPBM merupakan satu-satunya landasan bagi menggapai peluang untuk masa depan yang lebih mampan dan berintegriti setelah skandal yang cukup meranapkan reputasi bangsa Melayu.
Justeru itu, saya ingin melontarkan persoalan sama kepada semua ahli-ahli Parlimen PPBM – kenapa anda menyertai PPBM?
Apa yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, hala tuju PPBM dan secara tak langsung, Malaysia sendiri, tampak semakin sesat dan kemelut semakin meruncing.
Berpandukan tamak haloba ahli politik semasa, perangai ahli politik kini menyebabkan umum menganggap bangsa Melayu sebagai “bangsa lanun” – bangsa yang kerapkali bertindak mengikut perasaan tanpa rasa bertanggungjawab atas akibat dari tindakan beremosi tersebut. Suatu bangsa yang tidak bertulang belakang dan hanya mementingkan diri sendiri.
Namun, tanggapan buruk ini jauh dari hakikat sebenar.
Masalahnya, peradaban Melayu menuntut kesetiaan yang tak berbelah bahagi terhadap kepimpinan bangsa. Kadangkala kesetiaan ini menjurus kepada ikutan membuta tuli terhadap pemimpin semasa.
Disebabkan inilah, timbul rasa sebak bila saya melihat pemimpin sekarang sama ada terlupa atau sengaja buat-buat lupa akan amanah dan kepercayaan yang rakyat serahkan kepada para politikus sewaktu pilihan raya umum lalu.
Kesetiaan tak berbela bahagi rakyat yang dizahirkan dengan memangkah nama pemimpin supaya pemimpin tersebut membawa amanah dan kepercayaan ini ke peringkat Parlimen bagi mengembalikan maruah bangsa dan menolak pengingkaran kepimpinan lalu.
Ianya hasrat rakyat yang dikongsi bersama tanpa mengira parti atau kepentingan politik. Sedih saya melihat kesetiaan rakyat kepada pemimpin politikus ini dipermain dan diperkotak katikkan bagi mencapai cita-cita politik sesetengah pihak.
Sekalipun Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, tidak bererti hanya hasrat mereka yang mengundi PPBM yang terkesan.
Malahan keputusan PPBM untuk kembali bersekongkol dengan Umno, merupakan suatu pengkhianatan terhadap perjuangan asal PPBM dan seluruh rakyat yang mengharapkan kembalinya maruah bangsa dengan jatuhnya golongan kleptokrat.
Makanya, bagi menyelesaikan kemelut ini, kita perlu kembali ke pangkal jalan dan mendakap semula asas perjuangan kita. Saya cukup teguh dalam pendirian saya dari aspek ini, adakah anda?
Tariq Ismail Mustafa adalah ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.