
Fadillah Yusof, yang dinamakan sebagai menteri kerja raya, portfolio yang digalas dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum pilihan raya 2018, berkata masyarakat tidak mahu pertengkaran politik sejak beberapa minggu lalu berterusan lagi.
“Bukan tentang ketua saya lawan ketua kamu atau parti saya lebih bagus dari parti kamu. Sekarang masa untuk bekerja, kerja, dan kerja lagi,” katanya kepada FMT.
Fadillah berkata pengumuman Kabinet semalam sepatutnya menamatkan krisis politik yang menyusuli tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan bulan lepas.
Beliau berkata rakyat sekarang ini patut merapatkan barisan untuk melakukan yang terbaik untuk negara.
“Kestabilan politik dan kejelasan dasar penting dalam memacu ekonomi dan menarik pelaburan,” katanya ahli politik berusia 57 tahun itu.
Fadillah dinamakan sebagai menteri kanan bersama Mohamed Azmin Ali, Ismail Sabri Yaakob, dan Radzi Jidin yang akan menyelia beberapa portfolio lain.
Fadillah mahu tumpu kepada memastikan kecekalan pelaksanaan projek dari peringkat perancangan hingga siap dan penyelenggaraan.
“Saya akan melihat bagaimana kita boleh optimakan belanjawan yang terhad untuk menyampaikan projek yang berkualiti dan berbaloi dengan harga,” katanya.
Tetapi beliau berkata untuk mencapai perkara itu, mesti ada sinergi dengan kementerian dan agensi lain.
Pertama dalam senarai keutamaan adalah percepat pembangunan projek berkaitan keperluan sosial rakyat, termasuk pemulihan sekolah usang.
“Saya benar-benar harap rakyat boleh sokong kami agar kami dapat pastikan masa depan Malaysia yang lebih cerah.”