
Beliau berkata, gabungan baru itu terdiri daripada 4 Adun PPBM, 25 Adun daripada Umno dan 3 lagi PAS, menjadikan semuanya 32 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Selain beliau dan Zainol Fadzi (Sg Manik), katanya, 2 wakil rakyat PKR menyertai PPBM, iaitu Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).
“Gabungan ini akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mampu menjalin kerjasama erat dengan kerajaan persekutuan bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat Perak,” katanya pada sidang media di Ipoh.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan bekas menteri besar, Zambry Abdul Kadir.
Faizal berkata, beliau kekal sebagai menteri besar buat masa ini.
“Hari ini saya masih menteri besar Perak dan ada 3 parti yang bersetuju untuk menyerahkan nama calon seperti dicadangkan parti mereka kepada Sultan Perak.”
Ditanya kenapa menubuhkan kerajaan baru dengan PAS dan Umno, katanya, ia sejajar kepimpinan pusat PPBM untuk menubuhkan Perikatan Nasional.
Beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya tidak stabil.
Mengenai dakwaan beliau mengkhianati pengundi di Perak, Faizal berkata: “Kita tidak patut lupa ada di kalangan exco saya ketika itu yang sibuk menjatuhkan MB dan gabungan mereka sendiri.
“Pengkhianatan bermula di sana,” katanya sambil menambah kerajaan baru mampu berkhidmat kepada rakyat lebih baik.”
Pada 27 Feb lalu, PPBM dan Umno bekerjasama untuk membentuk kerajaan Johor selepas mendapat majoriti mudah di DUN.
Ini menyusul tindakan PPBM meninggalkan PH yang menyebabkan kerajaan persekutuan tumbang dan pergolakan politik bermula, sebelum Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri ke-8.