
Kita sering saja membaca kisah dan cabaran yang dihadapi oleh insan-insan yang bergelar sebagai seorang guru terutamanya mereka yang bertugas di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Ada antara mereka yang terpaksa meredah hutan dan sungai sebelum sampai ke destinasi demi mencurahkan ilmu yang dimiliki kepada anak-anak bangsa yang berada jauh di pedalaman sana.
Manakala seorang guru dari Sabah, Harry Yanto Bikal bukan saja terpaksa melalui semua kesusahan yang kita sering dengari sebelum ini- tetapi dia juga memikul peti ais hampir 40kg hampir 10km perjalanan.
Semuanya dilakukan kerana rasa tanggungjawab sebagai seorang guru kepada anak-anak muridnya.
Video berdurasi 2 minit 10 saat yang menunjukkan pengorbanan Cikgu Harry itu tular sejak bulan lalu dan turut mendapat perhatian netizen di Facebook.
Beliau bagaimanapun berkata tidak mengetahui video yang dirakam seorang guru yang turut serta bersamanya membeli peti ais itu di pekan Donggonggon tular sebelum ini dan hanya mengetahui perkara tersebut pada minggu lalu.
Memetik laporan media, peti ais itu dibeli melalui hasil sumbangan guru di sekolah itu bertujuan menyimpan makanan mentah untuk murid-murid yang tinggal di asrama.
Cikgu Harry bukan saja terpaksa memikul peti ais itu di belakangnya tetapi dia juga perlu melalui pelbagai rintangan seperti, sungai, hutan, jambatan kayu dan titi gantung sebelum sampai ke sekolah yang terletak di antara daerah Penampang dan Tambunan.
Dia yang pada kebiasaannya hanya mengambil masa tiga hingga ke lima jam ke sekolah juga berkata perjalanannya membawa peti pada hari itu memakan masa 7 jam.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]