
Beliau berkata memandangkan kemunculan gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia baru-baru ini dan seluruh dunia, pelbagai langkah diambil pihak berkuasa bagi menyekat penularan dalam negara dan melindungi kesihatan awam.
Noor Hisham berkata kemasukan serta persinggahan kapal persiaran, penumpang dan anak kapal memerlukan penyediaan sumber perubatan yang banyak di pelabuhan bagi tujuan saringan dan rawatan.

“Dalam tempoh yang sukar ini, adalah penting lebih banyak sumber perubatan bertumpu kepada hospital yang berdepan kecemasan perubatan dan melaksanakan langkah pencegahan.
“Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersama kementerian serta agensi yang lain mengambil keputusan tidak membenarkan kemasukan kapal persiaran ke pelabuhan Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui industri kapal persiaran adalah komponen penting dalam sektor pelancongan Malaysia dan menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.
“Kita berharap ini hanyalah langkah sementara dan yakin bahawa usaha bersepadu semua pihak akan membantu menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.
6 kes baru jangkitan Covid-19 dikesan
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham mengesahkan 6 kes baru Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif positif virus itu di negara ini sebanyak 99 kes.
Beliau berkata kesemua kes itu dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya selain kontak rapat terbabit juga dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.
Kesemua kes baru yang dilaporkan hari ini terdiri daripada kontak rapat kluster kes ke-26,” katanya.
Menurut beliau, kesemua kes dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.
Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang dijalankan sehingga punca jangkitan dapat dikenal pasti, katanya.