Kabinet mesti bebas pemimpin terpalit rasuah, kata TI-M

Kabinet mesti bebas pemimpin terpalit rasuah, kata TI-M

TI-M berharap kerajaan baru akan menggubal undang-undang yang dijanjikan sebelum ini dan pernah dipersetujui oleh PPBM pimpinan perdana menteri.

Presiden Transparency International Malaysia Muhammad Mohan berkata, rakyat mahukan keadilan dan menolak rasuah.
PETALING JAYA:
Badan anti rasuah Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menghalang mana-mana orang yang diketahui mengamalkan rasuah atau menghadapi perbicaraan berkait rasuah daripada dilantik menyertai Kabinet atau jawatan tinggi awam.

Presiden TI-M Muhammad Mohan juga berharap kerajaan baru akan menggubal undang-undang yang dijanjikan sebelum ini dan pernah dipersetujui oleh PPBM pimpinan Muhyiddin.

Beliau berkata, undang-undang tersebut termasuklah Akta Pembiayaan Politik, Akta Parlimen dan undang-undang bagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.

Katanya, rakyat jelas mahukan keadilan dan menolak rasuah.

Beliau berkata, pengundi akan menghukum kerajaan baru kini dalam pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan pada 2020 sekiranya ia gagal menghormati tuntutan tersebut.

“Kabinet dan ahli politik datang dan pergi. Tetapi kesetiaan kepada negara dan keperluan untuk melindungi dan membinanya kekal sebagai keutamaan paling penting,” katanya.

TI-M akan terus memeriksa rapat semua perkembangan yang berlaku di bawah kerajaan baru dan akan terus lantang bersuara dalam mengetengahkan isu utama berkait ketelusan dan integriti

Muhammad berkata, TI-M akan bekerjasama dengan kerajaan, pertubuhan atau individu yang benar-benar menyokong ketelusan, governans baik dan keadilan, selain menentang rasuah dan mana-mana pihak yang mengamalkannya.

Beliau berkata, kerajaan harus membuktikan keyakinannya dengan mengadakan persidangan Parlimen lebih awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.