Kabinet baru dijangka diumum Selasa, kata Zuraida

Kabinet baru dijangka diumum Selasa, kata Zuraida

Ketika ini hanya terdapat 9 ahli Parlimen wanita dalam Perikatan Nasional.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berharap 30% anggota Kabinet baru yang akan dilantik oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terdiri daripada wanita.
KUALA LUMPUR:
Kabinet Perikatan Nasional (PN) dijangka diumum pada Selasa ini, menurut ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Zuraida turut menzahirkan harapan agar 30% barisan Kabinet yang dipilih Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terdiri daripada wanita agar dasar yang bakal digubal adalah mesra golongan itu.

“Ketika ini ada 9 sahaja ahli Parlimen wanita dalam Perikatan Nasional. Jadi mungkin tidak mudah untuk capai 30% (kuota).

“Ia memerlukan seorang wanita untuk memahami apa itu keperluan wanita. Namun, kuota 30% (dalam Kabinet) itu boleh dicapai melalui lantikan seperti senator dan sebagainya,” katanya selepas sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2020 anjuran Go Red For Women di Yayasan Jantung Malaysia (YJM) di sini, hari ini.

Beliau menyatakan keyakinan ahli Parlimen wanita di negara ini layak berdiri seiring dalam barisan Kabinet baru.

Dalam pada itu, Zuraida yang merupakan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kebajikan warga tua wanita seperti membuat dasar khusus untuk golongan tersebut.

“Saya mahu lihat Malaysia bangunkan perkampungan warga emas supaya mereka menjalani hidup masa tua yang lebih berkualiti.

“Mereka dapat berinteraksi dengan selesa dan jalankan aktiviti bersama. Sebagai contoh, dasar dari segi perumahan, dari segi infrasturkturnya mestilah berbeza (yang memudahkan mereka),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.