2 parah, bas bawa rombongan guru langgar besi penghadang Lebuhraya Karak

2 parah, bas bawa rombongan guru langgar besi penghadang Lebuhraya Karak

Kejadian difahamkan berlaku selepas pemandu bas cuba mengelak ke kiri jalan selepas mendapati brek bas itu gagal berfungsi.

Bas yang membawa 38 guru Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya melanggar besi penghadang jalan di KM42.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Lima cedera, 2 daripadanya parah selepas bas rombongan yang membawa 38 guru melanggar besi penghadang jalan akibat masalah brek semasa menuruni bukit di KM42.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Kamarulzaman Jusoh berkata nahas jalan raya pada 11.50 malam itu melibatkan guru Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor yang dalam perjalanan ke Kelantan.

“Kejadian difahamkan berlaku selepas pemandu bas berusia 31 tahun cuba mengelak ke kiri jalan selepas mendapati brek bas itu gagal berfungsi.

“Bas itu juga melanggar sisi kiri sebuah treler yang berada kira-kira 100m di depannya sebelum dapat dihentikan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Kamarulzaman berkata 2 penumpang yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh manakala 3 yang cedera ringan dihantar ke Hospital Bentong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.