
Pengerusi MAH KL, BE Lim berkata, langkah pencegahan itu bermula dari kakitangan baris depan hotel sehingga ke bahagian belakang bagi melindungi pelanggan dan juga kakitangan.
Jelasnya, sanitiser tangan boleh diakses secara meluas di setiap tingkat hotel, manakala topeng muka juga akan disediakan mengikut permintaan.
“Hotel juga mempunyai rancangan tangani krisis mereka sendiri bagi memastikan tindak balas dan pelaksanaan yang betul dalam mana-mana senario kecemasan, termasuk pengurusan pandemic penyakit berjangkit.
“Pasukan tindak balas kecemasan akan bersedia sepanjang masa dan dilengkapi dengan peralatan pelindung diri yang mencukupi,” katanya pada satu taklimat media di Hotel Gardens di sini hari ini.

Menurut ahli jawatankuasa MAH KL Rajesh Daswani, sesetengah hotel juga merekodkan suhu badan tetamu semasa ketibaan dan sebelum keluar (check out).
“Ia bukan keperluan mengikut undang-undang, tetapi hotel mempunyai pilihan untuk ‘menaikkan’ apa-apa piawaian yang mereka ambil sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kini kita tahu tentang Covid-19 dengan lebih baik dan kita faham bagaimana ia tersebar, maka kita tahu cara untuk menghalang penularannya,” kata Rajesh.
Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata “gelombang kedua” jangkitan Covid-19 bermula dengan 7 kes baru yang dilaporkan dan dikaitkan dengan pelancong yang tidak datang dari China, tetapi Jepun dan Itali.