Dr M dedah senarai 114 ahli Parlimen sokong beliau

Dr M dedah senarai 114 ahli Parlimen sokong beliau

Perdana menteri sementara itu berkata, beliau turut menulis surat kepada Agong untuk menjelaskan kedudukannya.

Pemimpin PH bersama Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden gabungan itu di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur malam ini.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad mendedahkan senarai 114 ahli Parlimen yang menyokong pencalonannya menjadi perdana menteri baru, menjelang istiadat mengangkat sumpah Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 esok.

Perdana menteri sementara itu berkata, beliau sudah menyediakan surat untuk menjelaskan kedudukannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Semua jumlah ahli Parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri ke-8 di dalam bentuk akuan berkanun dan juga surat rasmi daripada ketua parti akan saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berharap Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya,” katanya dalam kenyataan malam ini selepas mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary malam ini.

Mahathir turut mengulangi 6 ahli Parlimen PPBM, iaitu beliau dan Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah) menandatangani akuan berkanun tidak menyokong Muhyiddin.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengulangi 111 ahli Parlimen PH sudah menandatangani akuan berkanun menyokong Mahathir.

“Seramai 114 sudah memberikan janji mereka. Kita mempunyai 114 (sokongan). Konsisten,” katanya.

Kumpulan 114 ahli Parlimen yang menyokong Mahathir itu akan berkumpul di luar Yayasan Al-Bukhary pagi esok sebagai tanda mereka mempunyai majoriti bagi menubuhkan kerajaan baru.

Anwar Ibrahim dan Salahuddin Ayub melambai ke arah media selepas menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary malam ini.

Petang tadi, Istana Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8 kerana presiden PPBM itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Pagi tadi, PH mengumumkan pencalonan semula Mahathir yang menjadi perdana menteri sejak 2018, selepas gabungan itu menggulingkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Perdana menteri baru memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru dan pemimpin PH mempertikaikan Muhyiddin memperoleh majoriti mudah.

Muhyiddin dijangka mengetuai kerajaan baru yang terdiri daripada PPBM, BN, PAS dan ahli Parlimen lain. Gabungan baru itu dijangka dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, gabungan baru pimpinan Muhyiddin itu mempunyai majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan sokongan 114 daripada 222 ahli Parlimen.

Selepas PPBM meninggalkan PH, gabungan itu kini diwakili PKR, DAP dan Amanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.