
Perkembangan ini lebih 2 minggu selepas Rozaidi, yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, memberi keterangan di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya berkenaan dakwaan berkongsi berita palsu mengenai wabak itu.
Peguamnya, Zamri Idrus sebelum ini berkata Rozaidi disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia – berkenaan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian – kerana berkongsi gambar berita palsu di Twitter mengatakan semua negara menyekat kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.
Beliau antara 4 orang yang didakwa berkaitan kenyataan tentang wabak itu.
Bagaimanapun, Rozaidi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan pertuduhan, Rozaidi didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun rozaidijamil dengan niat menyebabkan kegentaran awam, justeru dikhuatiri mungkin terdorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Pelakon tersebut didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: “Breaking News: All countries except Malaysia – All countries has banned Chinese tourist except Malaysia” yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Twitternya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan kes disebut semula pada 11 Mac ini.
Sementera itu, pengarah syarikat, Mohd Khairul Anuar Rosli, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama dengan menggunakan aplikasi web “Oh My Media” yang mendapat perhatian SKMM pada jam 1.20 tengah hari, 27 Jan lalu.
A Akhiruddin kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan tarikh sebutan semula pada 17 Mac ini
Dua individu lain iaitu juruteknik, Mohd Afendy Mohd said, 34, dan peniaga, Syed Mohd Faiz Syed Nasir, 28, mengaku bersalah atas kesalahan sama dan masing-masing diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan tarikh jatuh hukum ditetapkan, 17 Mac ini.
Afendy didakwa menggunakan aplikasi Facebook menerusi akaun Afendy Said yang dibaca SKMM pada jam 2.30 petang, 27 Jan lalu manakala Syed Mohd Faiz menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun faeznasirr yang dikesan oleh SKMM pada jam 3.30 petang, hari yang sama.