Projek Kenderaan Malaysia baru dipacu R&D, teknologi tercanggih, kata PM

Projek Kenderaan Malaysia baru dipacu R&D, teknologi tercanggih, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, projek itu akan mewujudkan permintaan untuk bahan berkaitan lain seperti plastik, getah dan keluli bergred tinggi.

Dr Mahathir Mohamad memegang buku Dasar Automotif Nasional 2020 pada majlis pelancaran dasar baru itu di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini. Turut hadir Darell Leiking (2 dari kanan), Ong Kian Ming (kanan) dan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali (2 dari kiri). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melaksanakan Projek Kenderaan Malaysia baru yang menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggabungkan teknologi paling canggih di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

Perdana menteri berkata, penekanan itu akan membolehkan Malaysia berdaya saing dalam pasaran domestik dan global.

Katanya, kluster teknologi dan tenaga kerja pakar baru, khasnya dalam bidang kejuruteraan automotif juga akan dibangunkan.

Beliau berkata, Projek Kenderaan Malaysia yang baru akan meneruskan usaha negara membangunkan 2 kereta dan satu motosikal negara terdahulu, yang akan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongannya bagi industri hiliran dan huluan.

Projek ini, katanya, akan mewujudkan permintaan untuk bahan berkaitan lain, seperti keluli gred tinggi, plastik, getah dan produk petrokimia dan merangsang pertumbuhan dalam sub sektor.

Beliau berkata, NAP 2020 akan menyokong teknologi hijau, termasuk pembangunan piawaian untuk pengujian dan penyelidikan bagi menyokong peningkatan dalam campuran biodiesel minyak sawit.

“Semua penekanan di bawah NAP 2020 ialah komitmen kita kepada industri yang kita juga bergerak ke arah sama dengan negara utama lain demi kekal dengan aliran global, tidak kira dari segi teknologi atau alam sekitar,” katanya selepas melancarkan NAP 2020 hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking serta timbalannya Ong Kian Ming.

Mahathir berkata, sektor automotif tidak terhad kepada pembuatan kereta kerana ia membuka pintu kepada potensi kejuruteraan tidak terbatas yang boleh melengkapi sektor ekonomi lain.

Beliau berkata, ini digambarkan dengan baik oleh negara pengeluar automotif di mana pembangunan vendor bagi pengeluaran komponen dan bahagian mewujudkan banyak pekerjaan serta tenaga kerja mahir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.