Jawab dakwaan dengan bukti, bukan saman fitnah, Majlis Peguam beritahu Putrajaya

Jawab dakwaan dengan bukti, bukan saman fitnah, Majlis Peguam beritahu Putrajaya

Presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab atas tindak-tanduk pegawainya, selain berusaha menjelaskannya.

Koh Tat Meng dan isteri Diong Mei Li di Mahkamah majistret Petaling Jaya tahun lepas.
PETALING JAYA:
Majlis Peguam menggesa Putrajaya menggubal dasar yang akan menamatkan saman fitnah oleh mana-mana peringkat kerajaan selepas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat keputusan untuk menyaman seorang lelaki yang masuk campur dalam usaha menangkap seekor anjing.

Saman itu dibuat terhadap Koh Tat Meng selepas beliau memfailkan satu saman sivil terhadap majlis itu pada Disember.

Presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, beliau kecewa dengan keputusan MPSJ itu dengan menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab atas tindak-tanduk pegawainya, selain berusaha menjelaskannya.

Beliau berkata, kuasa dan tanggungjawab kerajaan perlu sentiasa dipantau dan dinilai bagi “mengekalkan keseimbangan kuasa”.

Abdul Fareed Abdul Gafoor

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti ini, iaitu apabila wujud dakwaan salah guna kuasa dan kuasa paksaan.

“Penyelesaiannya tidak berada pada langkah memfailkan saman balas kerana memfitnah, tetapi terletak pada usaha menjawab atau menghujah balas dakwaan tersebut dengan bukti dan keterangan yang sesuai semasa perbicaraan.

“Sebagai badan awam, kerajaan tidak boleh berasa tersinggung sama seperti yang mungkin dirasai oleh individu awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Feb, Mahkamah Persekutuan mengekalkan prinsip undang-undang yang diputuskan 2 tahun lepas dalam satu kes melibatkan pemimpin pembangkang Sarawak Chong Cheing Jen dan kerajaan negeri itu bahawa kerajaan pusat dan negeri boleh menyaman mana-mana-mana individu kerana memfitnah.

Walaupun mengakui bahawa saman MPSJ boleh diterima berpandukan keputusan tersebut, Fareed berkata, ia boleh menghalang perbincangan awam dengan membolehkan kerajaan menyekat pandangan serta “mengehadkan ruang demokrasi” dengan mengancam saman fitnah.

Beliau berkata, dana awam sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam, bukannya membayar kos guaman yang berpanjangan.

“Justeru Majlis Peguam menggesa kerajaan supaya menggubal satu dasar yang melarang penggunaan saman fitnah oleh mana-mana kerajaan di negara ini.

“Ia juga menggesa kerajaan memperkenalkan satu undang-undang pada sesi Parlimen akan datang bagi membatalkan kesan keputusan Mahkamah Persekutuan itu bagi memastikan dan menjamin bahawa mana-mana kerajaan tidak boleh menggunakan tindakan undang-undang sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.