‘Saya di sini bro, datang secepat boleh, maafkan saya tidak berpeluang solat jenazah, cium dahi buat kali terakhir’

‘Saya di sini bro, datang secepat boleh, maafkan saya tidak berpeluang solat jenazah, cium dahi buat kali terakhir’

Zul Ariffin terkilan tidak dapat ziarah arwah Ashraf buat kali terakhir selepas tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di Jakarta dan lokai pusara agak jauh dari bandar.

Zul Ariffin terus ke pusara Ashraf sebaik sahaja tiba walaupun upacara pengebumian selesai dijalankan.

Pemergian Ashraf Sinclair memberi kesan mendalam buat ramai pihak terutama ahli keluarga dan rakan-rakan rapat dengan dirinya.

Pelakon Zul Ariffin yang mula mengenali arwah sejak 16 tahun lalu tidak melepaskan peluang menziarahi kubur dan memberi penghormatan terakhir buat sahabatnya itu.

Memetik laporan media, Zul Ariffin agak terkilan tidak berpeluang menunaikan solat jenazah dan bersama-sama sahabatnya ke pusara, ketika majlis pengebumian arwah di San Deigo Hills, Karawang, Jawa Barat, semalam.

Menurut Zul, dia bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mencari penerbangan ke Jakarta, sebaik mendapat tahu pemergian sahabatnya itu.

“Saya cuba mendapatkan penerbangan awal agar sempat solat dan usung jenazah ke pusara… Itu niat saya.

“Namun, apakan daya, masalah kesesakan lalu lintas di Jakarta selain lokasi pusara yang agak jauh dari pusat bandar, membuatkan saya terlewat.

“Saya tiba di San Diego Hills selepas majlis pengebumian selesai,” katanya yang berada di Jakarta memetik laporan BH.

Persahabatan 16 tahun Zul Ariffin dan Ashraf Sinclair bermula dengan dunia peragaan membuatkan mereka sangat rapat.

Zul turut berkongsi gambar ketika menziarahi pusara Ashraf di tanah perkuburan San Diego Hilss, Jakarta Selatan di laman sosial Instagramnya selain menceritakan kenangan persahabatan mereka berdua.

“Saya di sini bro, saya datang secepat yang boleh, maafkan saya tidak berpeluang solat jenazah, membawa awak dan mencium dahi buat kali terakhir.

“Kawanku, terasa seperti baru semalam kita duduk lepak di mamak di Johor, gelak sakan bercerita tentang perjalanan kita bersama.

“Kamulah rakan sejati saya yang pertama dalam industri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zul turut mengimbau perjalanan kerjayanya ketika mereka sama-sama bermula dalam bidang peragaan.

Zul memulakan kariernya bersama Ashraf Sinclair apabila bergandingan dalam iklan komersial sekitar tahun 2004.

Mereka sekali lagi bekerjasama selepas 15 tahun menerusi filem J Retribusi yang bakal ditayangkan tahun ini.

Filem J Retribusi merupakan gandingan bersama Zul dan Ashraf buat pertama kali dan bakal ditayangkan tahun ini.

“Kita bersama dalam bidang peragaan dan saya ketawa bila kamu memberitahu ingin menceburi bidang lakonan.

“Saya ketawa bila kamu kata saya juga perlu menceburi dunia lakonan. Ia seperti idea yang gila ketika itu.

“Selepas sedekad itu, kita akhirnya bekerja dalam filem yang sama sebagai antagonis dan protagonis. Tiada siapa yang menduga kami akan pergi sejauh ini.

“Saya dapat bayangkan sudah pasti kita akan berjaya mempromosi filem ini dan bergelak ketawa bersama lagi sekali,” ujarnya.

Zul turut berkongsi saat indah ketika Ashraf dan dia bercerita mengenai kisah kehidupan mereka.

“Wajah kamu bercahaya ketika menceritakan mengenai keluarga, isteri (Bunga Citra Lestari) dan satu-satunya anak lelaki kamu (Noah) dan ketika separuh jalan bercerita Bunga menghubungi kamu, itulah momen paling teruk apabila kamu sangat gedik dan ngade, rasa nak campak teh tarik kat muka..!”

Bagi Zul disitu terserlah betapa Ashraf mencintai isteri dan keluarganya dan itulah yang diimpikan oleh semua orang dalam dunia ini.

“I Miss you bro…Al-Fatihah.”

Allahyarham Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang tidur kira-kira pukul 4 pagi Selasa.

Arwah meninggalkan seorang balu iaitu Bunga Citra Lestari dan anak Noah Aidan Sinclair.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.