Ribuan lelaki Jepun berkumpul pakai cawat rai festival Hadaka Matsuri

Ribuan lelaki Jepun berkumpul pakai cawat rai festival Hadaka Matsuri

Festival Hadaka Matsuri satu pesta menuai yang disambut rakyat Jepun Sabtu ketiga Februari setiap tahun untuk mendapat tuah sepanjang tahun.

Beribu lelaki berkumpul di Kuil Saidaiji Kannonin dengan hanya memakai cawat dan stoking putih. (Gambar Mstyslav Chernov)

Dalam satu acara luar biasa yang berlangsung di Pulau Honshu, Jepun Sabtu lepas, ramai penduduk Jepun meredah cuaca sejuk untuk mengambil bahagian dalam satu festival tahunan tanpa berpakaian.

Memetik laporan Reuters, acara yang dipanggil sebagai Hadaka Matsuri itu adalah perayaan Jepun yang disambut setiap Sabtu ketiga bulan Februari di kuil Saidaiji Kannonin.

Beribu-ribu lelaki mengambil bahagian dalam acara tersebut di mana mereka dilihat tidak memakai pakaian dan hanya menggunakan kain cawat putih yang dipanggil fundoshi, bersama sepasang stokin putih.

Hadaka Matsuri sebenarnya pesta menuai yang bermula sekitar pukul 3 petang dan bertujuan untuk menanamkan minat dalam pertanian kepada generasi muda.

Peserta lelaki akan berjalan di sekitar kawasan kuil sambil membersihkan diri mereka dengan air sejuk beku di kawasan air pancut. (Gambar Jere Samuli Perttula Flickr)

Dalam pesta tersebut, peserta lelaki akan menghabiskan beberapa jam dengan berjalan di sekitar kawasan kuil sambil membersihkan diri mereka dengan air sejuk beku di kawasan air pancut, sebelum menuju ke kuil utama.

Semua peserta yang terlibat kemudian akan berhimpit-himpit dan berlumba untuk mencari dua batang kayu suci yang dilemparkan bersama 100 kayu lain ke arah orang ramai oleh sami kuil.

Mereka percaya bahawa sesiapa yang berjaya mendapatkan kayu tersebut akan mendapat tuah sepanjang tahun.

Acara tersebut juga boleh menjadi agak ganas kerana badan mereka akan lebam disebabkan perebutan untuk mencari kayu suci itu.

Sepanjang pesta berlangsung, pelbagai persembahan kebudayaan dan jualan turut diadakan. (Gambar Jere Samuli Perttula Flickr)

Dan atas sebab itu, bagi kanak-kanak dan pelajar sekolah Hadaka Matsuri khas diadakan untuk mereka.

Sepanjang pesta berlangsung, pelbagai persembahan kebudayaan dan jualan turut diadakan.

Lebih menarik, pesta tersebut bukan sahaja disertai oleh orang Jepun malah orang luar juga boleh sama-sama merasakan kemeriahannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.