Menteri Sarawak pertahan kenyataan KM berhubung baik pulih sekolah daif

Menteri Sarawak pertahan kenyataan KM berhubung baik pulih sekolah daif

Dilaporkan Sarawak membayar RM700 juta kepada Putrajaya pada Ogos tahun lepas dan Februari tahun ini sebagai sebahagian daripada bayaran balik pinjaman RM1 bilion.

Jabatan Kerja Raya Sarawak bertanggungjawab ke atas projek baik pulih sekolah daif di negeri itu.
KUCHING:
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin hari ini mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Abang Johari Openg bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janjinya kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

“Tidak ada sebuah pun sekolah dibaik pulih menggunakan ansuran RM350 juta pertama yang dibayar kepada kerajaan pusat pada 14 Ogos tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Manyin berkata, kerajaan negeri tidak terlibat dalam menentukan skop maupun kos projek baik pulih tersebut.

Dilaporkan bahawa Sarawak membayar RM700 juta kepada Putrajaya pada Ogos tahun lepas dan Februari tahun ini sebagai sebahagian daripada bayaran balik pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan pusat.

Pengerusi PH Sarawak Chong Cheing Jen semalam membidas Abang Johari kerana mendakwa kerajaan PH gagal membaik pulih sekolah daif di negeri berkenaan.

Beliau berkata, Abang Johari seharusnya bertanya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri berhubung kemajuan atau kelewatan pelaksanaan projek baik pulih sekolah di Sarawak, bukannya membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan persekutuan.

Chong berkata, tender bagi kerja-kerja baik pulih di beberapa sekolah telah pun dikeluarkan.

Manyin bagaimanapun mendakwa kenyataan Chong adalah menyeleweng dan tidak memberi “gambaran sebenar” berhubung isu itu.

“Suka saya tegaskan bahawa kenyataan ketua menteri “tiada 1 sekolah pun telah dibaik pulih” di bawah perjanjian kontra itu tepat dari segi faktanya dan benar.

“Fakta ini disahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa tiada 1 sekolah telah dibaik pulih,” katanya.

“Jelas bahawa Chong tidak merujuk kepada bosnya (Guan Eng) sebelum membuat kenyataan.

“Abang Johari diberikan taklimat menyeluruh berhubung kemajuan projek dan penegasan Chong bahawa ketua menteri tidak merujuk kepada JKR adalah tidak berasas dan hanya satu percubaan untuk memperkecilkan (Abang Johari) bagi meraih mata politik murahan.

“Chong juga tidak mempunyai locus standi untuk bercakap mengenai projek baik pulih sekolah daif kerana beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya.

“Sebagai timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Chong sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha mengatasi isu perdagangan dalam negeri seperti kenaikan harga barang keperluan yang membebankan rakyat, terutama dalam kalangan kelompok B40,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.