Gari kanak-kanak pendatang Sabah undang kemarahan kumpulan hak asasi

Gari kanak-kanak pendatang Sabah undang kemarahan kumpulan hak asasi

Aktivis menyeru kebajikan kanak-kanak pendatang asing dilindungi ketika polis melancarkan siasatan dalaman ke atas kejadian itu.

Gambar tular memaparkan seorang kanak-kanak bergari sambil memegang pistol mainan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi terkejut dan marah dengan kejadian menggari seorang anak pendatang asing di Sabah selepas ditahan polis kerana membawa pistol mainan sambil meminta sedekah daripada orang ramai.

Tenaganita menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima, mengatakan menggari kanak-kanak mencabuli Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang dimeterai Malaysia.

“Boleh kita terima pihak berkuasa bertindak seperti itu? Ini penjenayahan kanak-kanak yang tiada dokumen,” kata Pengarah Eksekutif Glorene Das kepada FMT.

Semalam, Ketua Polis Lahad Datu, Nasri Mansor berikrar tindakan akan diambil terhadap anggotanya selepas gambar seorang kanak-kanak Palauh digari tular.

Kanak-kanak itu ditahan bersama 14 wanita dan kanak-kanak, semuanya dari komuniti Palauh.

Sekeping gambar memaparkan kanak-kanak itu merayu wang sambil mengacu pistol mainan.

Glorene berkata kesukaran yang dihadapi golongan pendatang asing perlu difahami, dan mengingatkan ramai dalam kalangan mereka penting untuk ekonomi Sabah.

“Kami sedar beberapa keluarga ini menetap di Sabah selama bergenerasi tetapi ibu bapa tidak mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka kerana bimbang ditangkap dan ditahan.

“Bagi anak-anak ini, mereka hanya kenal Malaysia, jadi sertakan mereka dalam masyarakat kita, sahkan mereka, daftar mereka,” katanya, dan menambah kanak-kanak pandatang asing harus diberi pendidikan.

Sementara itu, Pengasas bersama Sabah Human Rights Centre (Sabah HRC), Anne Baltazar berkata tanpa akses kepada pendidikan, kanak-kanak pendatang asing mudah terjebak dalam kegiatan jenayah.

“Tidak mengejutkan kejadian ini berlaku,” katanya kepada FMT.

Anne berkata ramai kanak-kanak Palauh tiada dokumen, dan terbiar berkeliaran di jalanan untuk mencari nafkah.

“Ini menyebabkan mereka terdedah kepada cara-cara yang menyalahi undang-undang untuk hidup.”

Beliau berkata kerajaan harus menarik keraguannya terhadap Perkara 28(1)(a) CRC, yang menghendaki kerajaan menyediakan pendidikan rendah wajib dan percuma kepada semua orang.

Sementara itu, Pengarah North-South Initiative, Adrian Pereira berkata kanak-kanak jalanan ini menderita kerana mereka mangsa keadaan.

“Saya berharap masyarakat boleh mencari satu penyelesaian jangka masa panjang untuk membantu mereka bersekolah, dan melihat kebajikan keluarga-keluarga tanpa mengira status.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.