
Madinah Mohamad, yang ketika itu ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, berkata demikian ketika ditanya pendakwa ad-hoc Gopal Sri Ram mengenai bagaimana beliau tahu hubungan antara Rizal dan Rosmah.
“Dia memperkenalkan dirinya sebagai pegawai khas untuk Datin Seri Rosmah,” katanya, sambil menambah beliau biasa melihat Rizal di majlis berkaitan Permata.
Sri Ram kemudian bertanya, “Adakah tertuduh (Rosmah) beritahu anda bahawa dia bukan pegawai khasnya?”.
Madinah berkata Rosmah tidak pernah berbuat demikian.
Rizal pada awalnya berdepan 4 tuduhan rasuah kerana didakwa meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM5.5 juta berhubung projek solar untuk sekolah.
Bagaimanapun, tuduhan rasuah terhadapnya digugurkan sebelum perbicaraan bermula.
Terdahulu, peguam Rosmah Akberdin Abdul Kader bertanya Madinah jika beliau dapat mengesahkan sama ada Rizal adalah pegawai media di unit khas Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau pembantu Rosmah.
Madinah berkata beliau tahu Rizal sebagai pegawai khas Rosmah dan beliau tidak tahu Rizal pernah bekerja di stesen televisyen sebelum menyertai PMO.
Akberdin: Saya harus bertanya soalan berdasarkan arahan anak guam saya (Rosmah). Adakah anda sedar bahawa Rizal melaporkan kepada Siti Azizah Sheikh Abod, yang merupakan ketua jabatan untuk unit khas?
Madinah: Saya tidak pasti.
Ditanya adakah beliau tahu Rizal mungkin menyalahgunakan nama Rosmah untuk kepentingannya sendiri, Madinah berkata beliau tidak tahu jika ia berlaku.
Rosmah berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.
Perbicaraan diteruskan pada 20 Feb.