Putrajaya perlu ubah strategi Tahun Melawat Malaysia akibat Covid-19

Putrajaya perlu ubah strategi Tahun Melawat Malaysia akibat Covid-19

Menteri pelancongan, seni dan budaya berkata, pengurus pemasaran Tourism Malaysia serta pihak berkaitan perlu beralih fokus kepada pasaran seperti Asean, India, Asia Barat dan Korea Selatan.

Mohamaddin Ketapi berkata, satu inisiatif dan strategi berkesan diperlukan untuk memastikan misi menarik pelancong tidak terjejas sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
PUTRAJAYA:
Hala tuju dan promosi Tahun Melawat Malaysia (VM2020) perlu diubah supaya ia sejajar situasi negara yang sedang berdepan penularan wabak Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada negara serta industri pelancongan antarabangsa, memerlukan satu inisiatif dan strategi berkesan untuk memastikan misi menarik kehadiran pelancong tidak terjejas.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, kementeriannya memanggil sebahagian besar pengurus pemasaran Tourism Malaysia di luar negara untuk berkongsi pandangan dan merangka langkah terkini yang boleh diambil bagi menangani kesan penularan wabak itu.

“Pada masa ini, keprihatinan utama kita ialah wabak Covid-19 di China yang boleh dan telah memberi kesan kepada sektor pelancongan tempatan dan global.

“Bagaimanapun, bencana yang melanda China itu boleh menjadi faktor menjejaskan kedatangan pelancong China ke Malaysia, sekaligus memberi kesan kepada VM2020,” katanya pada majlis makan malam sempena Persidangan Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar negara malam tadi.

Persidangan 4 hari mulai semalam itu yang dianjurkan bersama Tourism Malaysia dan Malaysia Airport Holdings Berhad dihadiri 26 pengurus pemasaran serta 11 pengarah pejabat luar negara. Ketika ini, terdapat 34 pengurus pemasaran Tourism Malaysia di luar negara.

Mohamaddin berkata, China merupakan pasaran tradisi dan penting bagi Malaysia, menjadikannya antara 10 negara utama menyumbang kepada ekonomi negara melalui sektor pelancongan.

Atas faktor itu, katanya, strategi berkesan serta pelan tindakan pemulihan perlu dibangunkan untuk kempen VM2020, khusus bagi menangani kesan Covid-19 yang secara langsung menjejaskan industri pelancongan negara.

Beliau berkata, untuk tempoh sementara, pengurus pemasaran Tourism Malaysia serta pihak berkaitan perlu beralih fokus kepada pasaran tidak terjejas dengan wabak itu seperti di rantau Asean, India, Asia Barat serta Korea Selatan.

“Kementerian berharap persidangan ini akan dapat menghasilkan satu langkah atau hala tuju lebih berkesan dalam meningkatkan aliran trafik pelancong dari pasaran antarabangsa, ketika kerajaan bekerja keras menangani penularan Covid-19.”

Susulan penularan wabak Covid-19 di China, kerajaan pada 27 Jan lalu menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari wilayah Hubei, termasuk bandar Wuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.