Mahkamah perintah lelaki pijak Al-Quran jalani pemeriksaan mental

Mahkamah perintah lelaki pijak Al-Quran jalani pemeriksaan mental

Pihak pendakwaan dan mahkamah mahu tahu status sebenar kesihatan mental Mohd Zulkifli Ali.

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang lelaki yang videonya tular kerana dilihat memijak al-Quran baru-baru ini dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah.

Perintah terhadap Mohd Zulkifli Ali, 33, itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan dan mahkamah mengetahui status sebenar kesihatan mental Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan yang dibuat hari ini, Mohd Zulkifli didakwa mencemarkan Al-Quran dengan memijaknya dengan niat untuk menghina agama Islam.

Tertuduh juga didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan yang didengari oleh seorang individu dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaannya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel, di Jalan Abiad, Taman Tebrau Jaya pada 8.40 pagi 13 Feb lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Zulkifli didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 298 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, semasa prosiding pertuduhan dibacakan terhadapnya, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan merupakan seorang penganggur tidak membuat sebarang pengakuan serta hanya mengangguk faham.

Mahkamah menetapkan 17 Mac untuk tertuduh dipanggil semula bagi pertuduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.