Topeng muka habis stok, wanita China pakai kostum zirafah

Topeng muka habis stok, wanita China pakai kostum zirafah

Kreatif, cari alternatif lain selepas topeng muka kehabisan stok dengan memakai kostum haiwan.

Seorang wanita yang kerap ke hospital menemani bapanya yang sering mendapatkan rawatan memakai kostum zirafah selepas stok penutup mulut dan hidung habis. (Gambar Youtube)

Pelbagai cara dilakukan supaya tidak dijangkiti Covid-19 terutama sekali apabila topeng muka habis stok dan idea wanita ini wajar dipuji kerana sanggup pakai kostum haiwan.

Wanita yang dikenali sebagai He ketika ditemui di sebuah hospital di Luzhou memakai kostum zirafah ketika menemani bapanya yang sering mendapatkan rawatan selepas dia mendakwa kehabisan stok penutup mulut dan hidung.

Wanita itu memaklumkan dia membeli kostum itu minggu lalu selepas usahanya mendapatkan topeng mulut menemui jalan buntu kerana permintaan yang tinggi.

Daily Star melaporkan, He juga mendedahkan dia turut memakai kostum makhluk asing sekiranya kostum simpanan yang lain perlu dibasuh untuk memastikan kebersihan sentiasa terjamin.

Bukan setakat itu, tindakan He yang memakai plastik dari kepala hingga kaki turut tular di laman sosial sebelum ini.

Sebagai seorang wanita yang mementingkan kesihatan, He turut menawarkan diri ke bandar bagi mendapatkan bekalan ubat, selain memujuk doktor untuk memberikan rundingan menerusi kamera web.

“Saya sudah memakai kostum ini sejak topeng muka sudah tidak dijual,” kata He.

Permintaan topeng mulut dan hidung di China naik mendadak ekoran kebimbangan penduduknya dijangkiti Covid-19 yang kini sudah meragut lebih 1,500 nyawa di seluruh republik itu.

Lebih daripada 60,000 sudah dijangkiti, dengan kebanyakan kematian berlaku di Hubei.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.