Malaysia paling awal umum pakej rangsangan susulan wabak Covid-19, kata Guan Eng

Malaysia paling awal umum pakej rangsangan susulan wabak Covid-19, kata Guan Eng

Bank Negara Malaysia sebelum ini berkata, pertumbuhan ekonomi negara terkesan oleh gangguan penawaran dalam sektor komoditi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pada masa ini tidak ada kebimbangan bahawa negara menghadapi kemelesetan ekonomi susulan wabak Covid-19.
PUTRAJAYA:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak mahu mengendahkan cakap-cakap bahawa pakej ransangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Feb ini bagi mengurangkan kesan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19 mungkin sudah terlewat.

Beliau juga berkata, kerajaan mungkin akan menyemak atau tidak menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 akibat wabak tersebut.

“Tunggu pengumuman perdana menteri,” katanya.

Lim berkata, Malaysia merupakan antara negara paling awal mengumumkan pakej rangsangan ekonomi.

“Ada pihak yang berkata kita umumkannya (pakej rangsangan) terlalu awal kerana ia (kesan wabak Covid-19) belum begitu jelas.”

“Jika kita lihat negara lain, mereka umumkan pakej rangsangan lebih lewat daripada Malaysia.

“Jangan sandarkan (andaian) pada perasaan, ia mesti berasaskan fakta. Jika kita melihat fakta, Malaysia antara negara paling awal umumkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya pada satu sidang media selepas melancarkan perjanjian kerjasama antara bank SME, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Lim percaya pada masa ini tidak ada kebimbangan bahawa negara menghadapi kemelesetan ekonomi susulan wabak tersebut.

Dalam pada itu, berhubung kemerosotan kadar pertumbuhan KDNK bagi suku ke-4 tahun lepas kepada 3.6%, Lim berkata, beliau mahu melihat ke hadapan.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini berkata, pertumbuhan ekonomi negara terkesan oleh gangguan penawaran dalam sektor komoditi.

Menjawab isu itu Lim berkata, Kementerian Kewangan kini memberi tumpuan kepada usaha penggubalan pakej rangsangan.

Media melaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej ransangan ekonomi minggu depan.

Lim dilaporkan berkata, bantuan akan diberikan kepada sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi pulih sebaik mungkin dan mendapat manfaat daripada lonjakan ekonomi yang dijangka berlaku selepas berakhirnya wabak Covid-19.

Hari ini beliau juga berkata, pakej tersebut akan membantu menyokong kehadiran pelabur dan keyakinan umum kepada ekonomi Malaysia.

Katanya kerajaan tidak dapat membayar balik semua kerugian yang dialami sektor terbabit.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan membantu syarikat mengurangkan cabaran yang dihadapi, selain bersiap untuk menggarap manfaat daripada lonjakan ekonomi yang dijangka berlaku selepas “berakhirnya” wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.