
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed juga berkata polis melumpuhkan kumpulan tersebut, digelar sebagai Ayah Yie Tiger 99 atau AYT 99.
Huzir berkata kumpulan itu diupah RM30,000 untuk menembak pemandu Gani.
“Penembak dalam 40-an tetapi ini melibatkan kes peribadi antara pemandu, bukan dengan Gani,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Pada Ogos 2017, pemandu bekas peguam negara cedera ditembak 2 lelaki di halaman rumah sendiri.
China Press melaporkan kejadian berlaku di halaman sebuah rumah teres 2 tingkat di Taman Putra, Ampang.
Mangsa berusia 40 tahun bernama Mustafa itu, baru diambil bekerja sebagai pemandu persendirian Gani sejak Januari 2017.
Dalam pada itu Huzir berkata, pemandu Gani mempunyai isu peribadi dengan orang yang mengupah kumpulan itu untuk melakukan tembakan.
Beliau berkata penembak berkenaan adalah dalam kalangan kumpulan kongsi gelap tersebut.
“Beberapa ahli kumpulan itu yang terlibat dalam kes tembakan tersebut akan didakwa esok di Mahkamah Klang,” katanya.
Huzir berkata, seramai 12 orang ahli kumpulan geng kongsi gelap itu telah ditangkap dan akan didakwa esok kerana terlibat beberapa kes jenayah dan aktif di sekitar Klang.
Beliau berkata, polis sedang mengesan 20 lagi daripada 40 ahli dalam kumpulan kongsi gelap itu.
“Antara barang dirampas adalah sebuah kereta, telefon bimbit, pedang, parang panjang, pisau, wang tunai RM4,000 dan pistol,” katanya.