2 lagi ditahan berkait kes tembak kereta komander AKPS

2 lagi ditahan berkait kes tembak kereta komander AKPS

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua tangkapan terbaharu itu melibatkan lelaki berusia 51 dan 58 tahun.

Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua suspek akan disoal siasat sebelum dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. (Gambar Bernama)
BUKIT KAYU HITAM:
Dua lagi individu ditahan bersabit kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada pagi Rabu lepas.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kedua-dua tangkapan terbaharu itu melibatkan lelaki berusia 51 dan 58 tahun.

“Hasil tangkapan kumpulan pertama sebelum ini dan selepas siasatan lanjut, kami mengenal pasti dua lagi suspek yang membawa kepada tangkapan terbaharu malam tadi,” katanya semasa sidang media hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan disoal siasat dalam tempoh 24 jam pertama, dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman selepas itu.

Terdahulu, beliau melawat pintu masuk AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang turut dihadiri Ketua Pengarah agensi berkenaan Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah.

Beliau juga berkata susulan insiden tembakan itu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Mohd Nasaruddin M Nasir telah memaklumkan polis bahawa dirinya diekori individu tidak dikenali sebelum kejadian.

Saifuddin berkata Mohd Nasaruddin turut memberikan maklumat berkaitan fizikal dan perwatakan individu yang dipercayai mengekorinya sekali gus membantu polis membuat pemprofilan sebelum menahan kedua-dua suspek.

Sebelum ini, polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita Thailand berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu dalam beberapa serbuan di sini dan Padang Besar, Perlis pada hari yang sama selepas kejadian.

Insiden itu menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin di sini, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.