

Pengasas Relate Mental Health Malaysia (Relate) Dr Chua Sook Ning berkata, gangguan mental, yang dilihat sebagai “penyakit tak nampak” semakin meningkat daripada 10.5% penduduk menghidapnya pada 2005 kepada 29% pada 2015.
Walaupun begitu, majoriti syarikat tidak tahu bagaimana untuk menangani masalah pekerja yang berdepan isu kesihatan mental.
Susulan itu katanya, banyak syarikat tidak mengambil individu terbabit bekerja walaupun mereka berpotensi atau mereka diberikan mata penilaian yang rendah.
“Pekerja ini dilihat kurang produktif atau tiada motivasi. Kerisauan dan kemurungan boleh dirawat dengan sokongan yang betul,” katanya pada satu forum bertajuk “Workplace Mental Health, The Business Costs”, di sini.
Beliau berkata, pengurus sumber manusia perlu tahu bagaimana untuk menangani isu kesihatan mental supaya syarikat tidak kehilangan pekerja yang berkebolehan, dengan menambah bahawa sokongan dan kepercayaan pihak pengurusan boleh membantu pekerja mengatasi masalah yang dihadapi.
Chua berkata, kesihatan mental boleh disebabkan oleh faktor ekonomi atau pengalaman trauma, tetapi ramai orang tidak mendapat pertolongan yang mereka perlukan.
“Malah jika mereka cuba mendapatkan pertolongan, wujud kesan balasnya. Kakitangan diminta meletak jawatan apabila mereka mendedahkan bahawa mereka mendapat rawatan psikiatri,” katanya dengan menambah bahawa hanya 5% industri kecil dan sederhana bersedia mengambil individu yang mempunyai isu kesihatan mental bekerja.
Beliau berkata, pekerja mungkin sihat pada masa mereka diambil bekerja, tetapi keadaan tempat kerja dan tekanan mungkin menimbulkan isu kesihatan mental seperti kerisauan dan kemurungan.
Chua berkata, kebanyakan pengurus sumber manusia keberatan untuk bercakap tentang kesihatan mental, namun ia boleh membantu meningkatkan produktiviti sekiranya dibincangkan secara terbuka.
Pengurus perkhidmatan kesihatan pekerjaan Kumpulan Perubatan Qualitas Dr Azwan Abdullah berkata, simptom awal gangguan kesihatan mental termasuklah pening, keletihan dan sakit-sakit badan.
“Tetapi apabila kita melihat coraknya, maka kita dapat mengenali pesakit dengan lebih baik, katanya dengan menambah bahawa pesakit kemudiannya dirujukkan ke saluran sewajarnya bagi mendapatkan bantuan.

Azwan juga berkata, pengurus sumber manusia harus tahu bagaimana untuk mengenal pasti masalah dan memberi pertolongan sebelum ia terlambat.
Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti Hannah Yeoh berkata, kementeriannya menerima sebanyak 6,107 kes kesihatan mental dan majoriti daripadanya memerlukan kaunseling.
“Apabila kesedaran (mengenai isu kesihatan mental) ditingkatkan, maka jumlah laporan juga akan bertambah. Jangan cemas,” katanya.
Bagaimanapun katanya, negara masih berada di peringkat kesedaran dan lebih banyak perlu dilakukan bagi menambah sokongan kepada golongan yang berdepan isu kesihatan mental.