
Koronavirus dikatakan boleh tersebar melalui sentuhan tangan dan juga zarah udara.
Tetapi adakah anda tahu berapa jauh virus tersebut boleh tersebar?
Koronavirus yang berasal dari bandar Wuhan di China ini telah mengorbankan ratusan nyawa, majoritinya dari rakyat negara itu di samping ribuan nyawa sedang dijangkiti.
Lebih membimbangkan apabila virus Wuhan yang berasal daripada kelawar ini turut mengorbankan nyawa individu luar dari China, sehingga kini di Filipina dan Jepun.
Peningkatan jumlah kes dan angka korban mengakibatkan seluruh dunia semakin berwaspada.
Pastinya hal ini menimbulkan tanda tanya… Bagaimana penularan wabak koronavirus boleh tersebar dengan meluas dalam masa yang singkat?
Koronavirus boleh tersebar dalam jarak 2 meter?
Anda rasa selamat selepas “sempat” mengelak daripada individu yang bersin di depan anda? Nanti dulu… Sebenarnya, anda belum benar-benar selamat.
Ini kerana koronavirus atau virus yang dikenali sebagai Covid-19 ini boleh tersebar lebih jauh daripada apa yang anda sangkakan.
Pusat Kawalan Penyakit (CDC) memaklumkan bahawa koronavirus boleh tersebar daripada satu individu kepada individu lain pada jarak hampir 6 kaki atau bersamaan 2m.
Penularan koronavirus berlaku apabila titisan atau rembesan air liur melalui bersin atau batuk daripada individu yang dijangkiti tersebar.
Rembesan ini akan melekat pada bahagian mulut atau hidung individu berhampiran dan disedut masuk ke dalam paru-paru.
Masa merupakan satu aspek penting. Jika anda mendekati seseorang individu yang dijangkiti untuk tempoh lebih 10 minit, risiko untuk dijangkiti akan semakin meningkat.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum terdapat sebab yang jelas sama ada seseorang itu boleh dijangkiti virus itu hanya dengan menyentuh permukaan atau objek yang mengandungi virus di atasnya.
Bolehkah risiko jangkitan koronavirus diminimumkan?
Selepas mengetahui penyebaran koronaviru sboleh meliputi jarak 2m, maka anda perlu untuk meningkatkan langkah berjaga-jaga dalam mencegah sebarang risiko jangkitan. Tetapi bagaimana?
Berikut dikongsikan beberapa cara yang boleh anda lakukan, antaranya:
Menghindari hubungan fizikal
Antara cara paling mudah untuk mengurangkan sebarang risiko jangkitan koronavirus dengan menghindari hubungan fizikal seperti sentuhan dengan individu yang tidak sihat.
Tujuannya adalah untuk mengurangkan pendedahan kepada titisan atau rembesan air yang keluar. Ini terutamanya ketika seseorang individu itu bersin atau batuk.
Jika keadaan memerlukan anda untuk berada berdekatan, sebaiknya hindari sentuhan langsung dan sentiasa pastikan jarak anda adalah selamat.
Berada di rumah ketika sakit
Langkah pencegahan bukan sahaja melibatkan individu lain, namun ada masanya ia bermula dengan diri anda sendiri.
Selain daripada menghindari hubungan fizikal dengan individu yang tidak sihat, anda juga harus mengetahui keadaan kesihatan diri sendiri.
Mempunyai badan yang tidak sihat sudah tentu akan meningkatkan risiko jangkitan koronavirus.
Ketahuilah, keadaan kesihatan yang tidak sihat serta sistem imun rendah, pastinya akan mendedahkan anda kepada penyakit.
Sebaiknya, jika kesihatan anda tidak mengizinkan, berehatlah di rumah.
Ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan penyebaran sebarang masalah kesihatan kepada individu lain.
Menutup hidung dan mulut
Antara usaha yang amat digalakkan dalam mencegah penularan jangkitan koronavirus ini dengan memakai topeng muka.
Ia membantu melindungi bahagian hidung dan mulut, iaitu antara bahagian yang sering menjadi saluran utama jangkitan penyakit.
Jika tidak, gunakan tisu sebagai pelindung ketika bersin mahupun batuk dan buangkannya sejurus selepas selesai.
Sudah tentu ia dapat membantu mencegah penyebaran sebarang virus kepada individu lain.
Membasuh tangan dengan kerap
Amalan membasuh tangan pastinya satu cara baik untuk mengurangkan penyebaran wabak koronavirus.
Membasuh tangan adalah satu cara berkesan untuk menjaga tahap kebersihan dan melindungi diri daripada wabak.
Anda perlu mencuci dan membasuh tangan menggunakan sabun dengan kerap terutamanya sebelum makan, selepas ke tandas serta selepas bersin mahupun batuk.
Jika tidak terdapat sumber air yang berdekatan, anda boleh menggunakan gel pembersih tangan sebagai alternatif.
Anda juga amat dinasihatkan untuk menghindari sebarang sentuhan pada mata, hidung mahupun mulut sebelum membasuh tangan.
Jadi elakkan daripada menggosok mata atau hidung sebelum membasuhnya. Paling tidak pun, gunakan tisu basah untuk mengelap tangan terlebih dahulu.
Sesiapa juga berisiko untuk dijangkiti wabak koronavirus, walaupun anda mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke Wuhan, tempat pertama koronavirus dikesan.
Ia boleh tersebar kepada anda dengan hanya melakukan hubungan fizikal dengan individu yang sudah dijangkiti.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]