Jumlah pelancong China terkandas bukan isu, kata timbalan KM Sabah

Jumlah pelancong China terkandas bukan isu, kata timbalan KM Sabah

Christina Liew berkata, kerajaan negeri sudah memberi lanjutan visa 7 hari kepada warga China yang terkandas di Sabah itu.

Christina Liew berkata, 130 warga China yang terkandas di Sabah akibat penggantungan penerbangan ke China selepas penularan wabak Covid-19, sudah memohon lanjutan visa dan mereka sedang bersedia untuk pulang ke tanah air.
KOTA KINABALU:
Jumlah sebenar pelancong China yang terkandas di Sabah akibat penularan wabak Covid-19 bukannya isu, kata Timbalan Ketua Menteri Christina Liew susulan kritikan terhadap statistik bercanggah yang dilaporkan media.

Katanya, kerajaan negeri sudah memberi lanjutan visa 7 hari kepada warga China yang terkandas di negeri itu.

“Tidak kira berapa ramai daripada mereka berada di sini kerana mereka sudah tahu boleh dapat lanjutan visa selepas ia tamat tempoh,” katanya kepada FMT semalam.

Beliau berkata, ia bukan dalam bidang kuasanya untuk tahu berapa ramai warga China masih berada di Sabah.

“Saya sedar Jabatan Imigresen sudah menyatakan jumlahnya lebih 13,000 orang, manakala pejabat konsul jeneral pula menyatakan kira-kira 200 orang.”

Semalam, sebuah NGO Sabah menggesa kerajaan negeri menjelaskan status pelancong China yang terkandas di Sabah disebabkan penggantungan penerbangan selepas penularan wabak Covid-19 di China.

Jurucakap Himpunan Hak Asasi untuk Rakyat Sabah (Harus), Samuel Lai berkata statistik bercanggah itu menunjukkan perbezaan besar dalam cara maklumat disampaikan kepada media.

Liew yang juga menteri pelancongan Sabah berkata, 130 orang sudah memohon lanjutan visa dan sedang bersedia untuk pulang ke China.

“Bagi yang lain pula, kerajaan masih menunggu.”

Beliau juga mendapati Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide meletakkan jumlah 2,000 hingga 3,000 warga China mempunyai permit kerja di Sabah serta kira-kira 700 lagi ialah pelajar.

Katanya, susulan impak penularan Covid-19 ke atas sektor pelancongan, beliau bersedia ke India, Rusia, Eropah dan Australia untuk mempromosikan Sabah dalam beberapa bulan lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.