Baki penumpang kapal Westerdam dilarang ke Malaysia, kata TPM

Baki penumpang kapal Westerdam dilarang ke Malaysia, kata TPM

Ia selepas seorang penumpang wanita kapal persiaran itu disahkan positif Covid-19 setibanya di KLIA semalam.

Kapal persiaran MS Westerdam yang membawa 1,455 penumpang dan 802 kru berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville, Kemboja pada Khamis lalu. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Malaysia tidak akan membenarkan baki penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja, memasuki negara ini selepas seorang penumpangnya disahkan positif Covid-19 semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ujian ke-2 ke atas wanita Amerika Syarikat berusia 83 tahun itu pada lewat malam tadi sekali lagi mengesahkan beliau positif, manakala suaminya negatif Covid-19.

Pasangan yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh itu antara 145 penumpang yang diterbangkan ke Kuala Lumpur Jumaat lalu, selepas Westerdam berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville, Kemboja.

Katanya, larangan itu dilaksanakan kerana mengambil kira semua penumpang Westerdam ialah kontak rapat wanita berkenaan.

Wan Azizah berkata, syarikat kapal persiaran Holland American Line menyewa pesawat Malaysia Airlines untuk menerbangkan sebahagian penumpang kapal persiaran itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville ke Malaysia.

Mengikut perancangan awal, MAS sepatutnya menyediakan 4 penerbangan sewa khas mulai 14 Feb hingga hari ini untuk membawa penumpang kapal persiaran ke negara ini, sebelum dihantar pulang ke tanah air mereka.

(Dua dari kiri) Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad bersama Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

“Setakat ini, hanya satu penerbangan sewa khas (MH8763) yang membawa 145 penumpang mendarat di KLIA pada 14 Feb 2020, 7 petang.

“Seramai 143 penumpang yang melepasi saringan dan tidak bergejala, di mana 137 telah meneruskan perjalanan, manakala baki 6 orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing.

“Penumpang lain pesawat tersebut dianggap kontak rapat. Berdasarkan keputusan tersebut, MAS membatalkan baki penerbangan sewa khas yang lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Wan Azizah berkata, 6 penumpang itu akan menjalani ujian pengesanan Covid-19, jika keputusan negatif, mereka akan  dibenar meneruskan perjalanan.

Katanya, jika didapati positif, mereka akan dibawa ke hospital untuk pemantauan kesihatan lanjut.

Beliau berkata, Putrajaya juga memutuskan tidak akan membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit di pelabuhan China, memasuki Malaysia.

Katanya, tiada kes jangkitan baru dilaporkan hari ini dan seorang wanita warga China yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru, sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang semalam.

Ini menjadikan 14 pesakit masih dirawat di hospital dan baki 8 lagi dibenarkan pulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.