KKM: Wanita warga AS positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 22 kes

KKM: Wanita warga AS positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 22 kes

Wanita berusia 82 tahun itu merupakan salah seorang penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Feb 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan disahkan positif pada 15 Feb. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan seorang warga Amerika Syarikat (AS) positif jangkitan baru Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 22 kes disahkan di negara ini setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, wanita berusia 82 tahun itu adalah salah seorang penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Feb 2020.

“Seramai 145 penumpang kapal persiaran tersebut mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Feb.

“Daripada jumlah tersebut, beliau dan suaminya dikesan menunjukkan simptom sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dirujuk keHospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Jelasnya, ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan disahkan positif pada 15 Feb.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan kapal persiaran WS Westerdam dibenarkan berlabuh di perairan Kemboja selepas ditolak oleh 4 buah negara yang khuatir dengan penularan wabak Covid-19.

Menurut laporan AP, kapal yang membawa 2,200 penumpang, termasuk 802 anak kapal itu tidak diterima untuk berlabuh di Jepun, Filipina, Taiwan dan Thailand.

Kesemua penumpang dan anak kapal pula harus menjalani pemeriksaan bagi memastikan mereka bebas virus tersebut.
Noor Hisham berkata, buat masa ini, ujian pengesanan Covid-19 ke atas suami kepada wanita berkenaan adalah negatif.

Awal hari ini, 2 kes baru jangkitan Covid-19 disahkan membabitkan warga China menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus berkenaan di negara ini 22 kes, termasuk 6 rakyat tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.