
Warganegara Switzerland berusia 57 tahun itu sudah didakwa di Perancis dengan pertuduhan merogol seorang wanita kelainan upaya pada 2009 dan seorang aktivis wanita pada 2012. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Pada Khamis, ketika Ramadan yang ditemani isterinya muncul di depan majistret siasatan di Paris, lebih banyak tuduhan ditambah ke atas kes membabitkan 2 wanita lain yang dikenal pasti penyiasat daripada gambar dalam komputernya.
“Ada hasrat untuk mendakwa Tariq Ramadan menggunakan sebarang cara dan bukti itu.
“Kes ini semakin ganjil,” kata peguamnya Emmanuel Marsigny kepada AFP.
Kedua-dua wanita itu pada asalnya tidak membuat laporan, tetapi berkata mereka terbabit dalam hubungan seksual ganas dengan Ramadan – seorang dari November-Disember 2015 dan seorang lagi pada Mac 2016.
“Ia selain rogol secara fizikal, ia lebih daripada itu…ada rogol secara moral,” kata seorang wanita itu dalam keterangan yang dilihat AFP.
“Dia boleh mengawal anda untuk melakukan semua yang dikehendakinya. Tetapi hubungan ini dipersetujui bersama, ya.
“Saya memintanya untuk berlembut sedikit, tetapi dia kata ‘itu salah anda, anda patut terimanya’ dan dia perlu dipatuhi, itu yang saya lakukan,” kata seorang lagi wanita.
Ramadan yang mempunyai 4 anak dan datuknya mengasaskan Ikhwanul Muslimin di Mesir, ialah pensyarah kajian Islam kontemporari di Universiti Oxford sehingga beliau terpaksa bercuti apabila dakwaan rogol timbul pada kemuncak gerakan “Me Too” pada lewat 2017.
Beliau kemudiannya ditahan selama 4 bulan pada Februari 2018 sebelum dibebaskan dengan ikat jamin atas dakwaan merogol 2 wanita di Perancis – seorang pada 2009 dan seorang lagi pada 2012.
Pihak berkuasa di Switzerland turut menyiasat beliau selepas menerima satu aduan rogol di negara itu.
Ramadan bertegas semua hubungan itu berlaku atas persetujuan bersama.
Didakwa di Perancis tidak bermakna suspek itu akan dibicarakan kerana sesuatu kes itu masih boleh digugurkan atas faktor kekurangan bukti.