
Pengarah JKNJ, Dr Aman Rabu berkata tindakan itu diambil susulan laporan polis dibuat sebuah hospital kerajaan.
“Laporan polis tersebut dibuat rentetan seorang kanak-kanak yang disyaki menghidap penyakit berjangkit dibawa pulang keluarganya, walaupun perlu dimasukkan ke wad untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, tindakan menyusul pesakit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit itu oleh polis mengikut prosedur bagi memastikan pihak terbabit mematuhi arahan hospital.
Katanya, memandangkan pesakit disyaki menghidap penyakit berjangkit, polis meminta bantuan ambulans untuk tujuan dimasukkan ke wad.
“Orang awam perlu mengambil maklum, menjadi kesalahan jika seseorang melanggar arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya yang berharap masyarakat tidak menyebarkan berita tidak tepat yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.