KPDNHEP serbu pengeluar cecair basmi kuman naikkan harga lebih 100%

KPDNHEP serbu pengeluar cecair basmi kuman naikkan harga lebih 100%

KPDNHEP berkata, pemerhatian di laman web syarikat itu mendapati harga satu pek cecair pembasmi kuman 5 liter dijual RM228 semalam berbanding RM112 sebelumnya.

KPDNHEP memandang serius kenaikan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan Covid-19. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah syarikat pengeluar cecair pembasmi kuman di Kajang diserbu selepas dipercayai menaikkan harga lebih 100% dalam tempoh kurang 2 minggu.

Timbalan Pengarah Pencegahan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kenaikan harga cecair pembasmi kuman dikeluarkan syarikat itu yang dijual dalam talian.

Katanya, berdasarkan pemerhatian di laman sesawang syarikat itu pada awal bulan lalu mendapati harga satu pek cecair pembasmi kuman seberat 5 liter dijual pada harga RM118 berbanding RM112 sebelumnya.

“Bagi tempoh 2 minggu kemudian, harga produk berkenaan terus meningkat hingga mencecah 100%, iaitu RM228 yang direkodkan semalam di laman sesawang syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Azman berkata, pihaknya turut merampas 37 pek cecair pembasmi kuman seberat 5 liter setiap satu yang dianggarkan bernilai RM8,436 dalam serbuan itu.

“Kami memandang serius peningkatan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan Covid-19,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Akta Harga dan Antipencatutan 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.