
Menurut sebuah majlis yang bertanggungjawab mengawal selia perlembagaan Iran dan memeriksa latar belakang calon, lebih 7,000 calon dibenarkan bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan pada Februari itu.
Rakyat Iran akan mengundi pada 21 Feb yang menyaksikan sejumlah 290 kerusi Parlimen dipertandingkan.
Hampir 58 juta warga Iran layak mengundi pada pilihan raya ke-11 itu.
Daripada jumlah keseluruhan pengundi layak, 50.13% terdiri daripada pengundi lelaki.
Dua kem utama, iaitu reformis dan kerajaan telah mengeluarkan senarai calon masing-masing.

Minggu lalu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menggesa rakyat Iran untuk turut sama dalam pilihan raya akan datang.
Beliau juga menasihatkan institusi media dan pegawai Iran tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menghalang rakyat pergi mengundi.
Katanya, pihak musuh sengaja membesar-besarkan isu pertikaian untuk menentang Iran.
Justeru, pemimpin tertinggi Iran itu menyeru rakyat beramai-ramai keluar mengundi kerana ia boleh mengecewakan musuh.
Menurut televisyen negara, pilihan raya Parlimen dan pilihan raya pertengahan penggal dewan ulamak akan diadakan serentak pada 21 Feb.