
Benama melaporkan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakej rangsangan ekonomi itu bukanlah belanjawan baru atau sebahagian daripada langkah Belanjawan 2020, tetapi merupakan bantuan kepada industri berkaitan.
“Bantuan akan diberikan kepada sektor berkaitan bagi membolehkan ekonomi bergerak sebaik mungkin dan mendapat manfaat daripada lonjakan yang dijangka berlaku pasca Covid-19,” katanya.
Koronavirus novel yang kini dikenali sebagai Covid-19 mula merebak di Wuhan, China. Di Malaysia 19 individu disahkan positif virus itu dengan 13 daripada mereka adalah warga China, dan 6 rakyat tempatan.
Lim berkata, aliran tunai merupakan kebimbangan utama dan syarikat terbabit mesti memastikan ia terus mapan, mampu beroperasi dan dapat meraih manfaat daripada lonjakan ekonomi yang bakal berlaku.
“Kerajaan akan mengambil langkah bagi membantu syarikat berkenaan, tetapi penekanan juga harus diberi bagi meneroka kaedah alternatif seperti menggalakkan pelancongan domestik dan mencari pasaran lain.”
Ini juga melibatkan langkah memastikan pasaran tenaga kerja tempatan berdaya tahan, selain memastikan infrastruktur fizikal dan bukan fizkal kekal kukuh susulan kemerosotan permintaan jangka pendek, katanya.
Kementerian Kewangan sedang menyiapkan program rangsangan ekonomi dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan pelbagai agensi lain, menurut laporan itu lagi.
Kerajaan juga mengadakan sesi rundingan dengan pemain utama sektor pelancongan, logistik dan kewangan. Kementerian terbabit juga mengadakan pertemuan dengan industri kecil dan sederhana, selain tabung dan syarikat berkaitan kerajaan, kata Lim.
Dalam kenyataan itu juga, Lim berkata, Kementerian Kesihatan telah menjalankan tugas cemerlang dalam mengawal wabak Covid-19, tanpa mecetuskan panik awam walaupun berlaku beberapa insiden berita palsu.
“Kakitangan kesihatan kita perlu diberikan semua bantuan yang diperlukan bagi mengatasi cabaran ini,” kata Lim.