2 kapal persiaran Hong Kong dilarang berlabuh di Malaysia, kata Wan Azizah

2 kapal persiaran Hong Kong dilarang berlabuh di Malaysia, kata Wan Azizah

Terdahulu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilaporkan menerima permohonan untuk berlabuh daripada 2 kapal persiaran dari Hong Kong iaitu kapal Westerdam dan Sapphire Princess.

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas peringkat tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berhubung Covid-19 di bangunan Perdana Putra hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Ismail berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak membenarkan kapal asing yang enggan berkongsi maklumat penting dengan pihak berkuasa tempatan berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Bercakap pada satu sidang media selepas mesyuarat khas peringkat tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berhubung Covid-19 di bangunan Perdana Putra di sini hari ini, Wan Azizah berkata, kapal Westerdam dengan muatan kira-kira 1,000 penumpang yang memasuki Taiwan pada 1 Feb pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam, sementara kapal Sapphire Princess berlabuh di Singapura.

“Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing seumpama itu berlabuh di mana-mana perairan Malaysia jika enggan berkongsi maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia,” katanya .

Terdahulu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilaporkan menerima permohonan untuk berlabuh daripada 2 kapal persiaran dari Hong Kong iaitu kapal Westerdam dan Sapphire Princess.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata Kabinet, melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), memberi kelonggaran dalam pengambilan lebih ramai pekerja asing untuk kilang penghasilan topeng muka.

Beliau berkata, perkara itu akan diuruskan oleh KDN dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi memastikan kawalan dalam pengambilan pekerja asing terbabit.

“Sebab nak ambil ini kecemasan. Kita juga tidak mahu kebanjiran (pekerka asing). Kawalan akan dilaksanakan,” katanya.

Sebelum itu, Wan Azizah berkata Kementerian Perdagangan Dakam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melaporkan status bekalan barang keperluan dalam usaha pencegahan wabak Covid-19.

“Antara langkah kawal seliaan bekalan dan harga jualan topeng muka di pasaran yang diambil adalah mengeluarkan surat arahan kepada KPDNHEP negeri dan cawangan untuk mengarahkan peniaga topeng muka membuat kawalan kendiri dan tidak menjual secara pukal kepada pelanggan,” katanya.

Sehingga kini Malaysia menyaksikan 19 kes positif Covid-19 melibatkan 13 warga China dan 6 rakyat tempatan.

Daripada 19 kes berkenaan, 9 kes adalah dalam kategori Patient-Under-Investigation (PUI), 8 kes dalam kategori kontak rapat dan 2 kes melibatkan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan dalam misi kemanusiaan baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.