
Pengarahnya Dr Chin Zin Hing berkata, dakwaan itu tidak benar , selain menambah bahawa setakat ini tidak ada kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri itu.
“Jabatan akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat khabar angin itu,” katanya ketika dihubungi oleh FMT.
Terdahulu hari ini, seorang pengguna Twitter berkata, beliau terdengar khabar angin yang mendakwa virus itu merebak ke Sarawak.
Beliau juga mendakwa 2 individu didapati positif dan 3 yang lain berada dalam pemerhatian selepas kembali dari Singapura.
Chin bagaimanapun berkata, setakat tengah hari ini terdapat 76 kes dalam pemerhatian berkait Covid-19 dan 59 daripadanya disahkan negatif. Baki 17 kes sedang menunggu keputusan ujian makmal.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai perkara itu.
“Orang ramai digesa merujuk kepada kenyataan perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kesihatan dan ketua pengarah kesihatan mengenai perkembangan terakhir wabak berkenaan di Malaysia, khasnya di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta SKMM.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Individu juga boleh dikenakan denda tambahan RM1,000 jika mereka terus menyebarkan berita palsu selepas disabitkan kesalahan.