
Joseph Tawie membacakan permohonan maaf kepada Nancy pada sidang mahkamah terbuka di hadapan Hakim Supang Lian.
Tawie memohon maaf atas kenyataan fitnah yang dimuatnaik di Facebook pada 10 Mei dan 13 Mei tahun lepas, mendakwa Nancy menyalahgunakan kuasa apabila mengarahkan tuai rumah Sungai Buluh tidak mengundang Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ke sambutan Gawai.
Beliau juga mendakwa Nancy mengarahkan tuai rumah itu tidak bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya memohon maaf kepada Nancy dan kerajaan Sarawak kerana menerbitkan kenyataan fitnah mengandungi dakwaan tidak betul dalam penerbitan fitnah itu.
“Saya memohon maaf sepenuhnya kerana menerbitkan penerbitan fitnah itu tanpa saya menjalankan sebarang siasatan bebas terlebih dulu bagi menilai kebenaran dakwaan seperti itu,” katanya.
Nancy menyambut baik permohonan maaf Tawie atas perkara itu.
“Ia mengenai maruah saya kerana saya tahu saya tak buat apa-apa seperti didakwa. Sebab itu saya bersungguh-sungguh.
“Saya gembira perkara ini diselesaikan dengan baik kerana ia menyebabkan saya sangat sedih.
“Saya maafkan dia kerana saya percara semua orang, tanpa mengira kaum atau agama, mesti diberi peluang untuk menebus maruah diri. Hari ini, kita dapat kawan baru kerana kes ini,” katanya.
Nancy mengingatkan fitnah mengundang akibat.
“Walaupun kita hidup dalam masyarakat demokrasi yang mendakap kebebasan berekspresi, kita mesti faham kebebasan itu bukannya mutlak, dan tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan orang lain,” katanya.
Oleh itu, dalam permohonan maaf yang dipersetujui mereka, Tawie dikehendaki menyiarkan permohonan maaf itu di Facebook dalam tempoh 3 hari bermula hari ini dan di 2 akhbar tempatan.
Defendan juga perlu membayar kos RM25,000 kepada plaintif. Wang pendahuluan sebanyak RM10,000 mesti dibayar dalam tempoh 30 hari bermula hari ini.