Bahan bacaan digital tanpa sekatan antara cabaran tangani berita palsu, kata Mahathir

Bahan bacaan digital tanpa sekatan antara cabaran tangani berita palsu, kata Mahathir

Pengaruh bahan bacaan digital begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar danbuku semakin diketepikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kebebasan media kekal di negara ini, tetapi tindakan mengganggu orang lain dengan melaga-melagakan satu kaum dengan kaum yang lain tidak boleh diterima dan wajar dikenakan tindakan.
BANGI:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akui pengaruh digital yang ketika ini merupakan satu trend adalah antara cabaran dihadapi Putrajaya dalam menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Mahathir berkata, berbeza dengan dahulu, arus digital kini begitu banyak bahan bacaan boleh diperoleh tanpa sekatan, hingga menjadi gelanggang untuk menyebarkan berita palsu dan kandungan yang merosakkan masyarakat.

“Di sinilah letaknya cabaran pembacaan, untuk membezakan yang benar dan palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan,” katanya semasa melancarkan program Dekad Membaca Kebangsaan, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Pada Jan lepas, Mahathir berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu serta fitnah, berhubung koronavirus (Covid-19).

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak-ansur terhadap penyebaran berita palsu, penipuan maklumat dan fitnah yang menyebabkan kekecohan awam rentetan penyebaran berita tidak benar mengenai wabak berkenaan.

Mahathuir juga berkata, kebebasan media kekal di negara ini, tetapi tindakan mengganggu orang lain dengan melaga-melagakan satu kaum dengan kaum yang lain tidak boleh diterima dan wajar dikenakan tindakan.

Sehingga kini, beberapa individu sudah ditahan dan diambil keterangan kerana didakwa menyebarkan berita palsu, termasuk seorang wartawan yang mengeluarkan kenyataan di laman Facebook miliknya.

Mahathir yang juga pemangku menteri pendidikan berkata, pengaruh digital kepada masyarakat pada hari ini begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional masyarakat seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.

“Banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan merosot, manakala buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak. Namun, ia tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca.

“Apa yang berubah ialah sumber pembacaan. Hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan secara digital. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.